AS Meliwat Malaysia

Oleh: Awang Selamat

Kuala Lumpur – Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mempersoalkan hukuman penjara ke atas Anwar Ibrahim merupakan perbuatan “meliwat” sistem kehakiman dan perundangan negara ini, ulas Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia.

 

Menurut beliau, percubaan campur tangan kuasa besar yang dikenali sebagai pembuli itu merupakan suatu yang membimbangkan berikutan tindakannya mengenakan tekanan menerusi petisyen membebaskan Ketua Pembangkang itu dengan segera.

 

Katanya, percubaan campur tangan itu juga merupakan kesalahan Anwar yang selama ini mengundang campur tangan asing, perbuatan yang beliau samakan dengan si Kitul pada zaman Kesultanan Melaka.

 

Awang Selamat juga memberitahu, Anwar bukanlah pemimpin pertama atau seorang sahaja dalam sejarah yang pernah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan meliwat.

 

Berikut adalah tulisan penuh beliau berhubung perkara tersebut:

 

Kedaulatan kita…

Sebenarnya tidak teruja untuk Awang menulis berkaitan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.

 

Memang terlalu banyak asas mensabitkan beliau, yang pasukan pendakwa raya diketuai Shafee Abdullah berjaya buktikan.

 

Akhirnya Anwar mencatat sejarah, pemimpin yang dua kali dipenjara atas kesalahan meliwat mengatasi rekod bekas Presiden Zimbabwe, Canaan S. Banana yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, juga atas kesalahan meliwat pembantu peribadi Jeff Dube pada 1998.

 

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan Anwar bersalah disambut dengan tenang oleh rakyat Malaysia. Kematangan terserlah apabila rakyat tidak terheret dengan cubaan membantah keputusan  itu di jalanan.

 

Setakat ini, beberapa penganjuran bantahan itu tidak mendapat sambutan orang ramai dengan jumlah yang agak luar biasa kecil.

 

Sesungguhnya rakyat sudah bosan dengan demonstrasi jalanan dan kekecohan apatah lagi untuk memperjuangkan pemimpin yang menghadapi masalah moral yang serius.

 

Lagipun keadilan bukan semata-mata untuk pemimpin seperti Anwar, rakyat kecil seperti Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang menjadi mangsa liwat, juga punya hak.

 

Yang lebih Awang teruja untuk bangkitkan sambil berasa bimbang ialah campur tangan negara dan pihak asing terhadap kes tersebut.

 

Ini termasuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang seperti biasa mahu mengenakan tekanan ke atas Malaysia antaranya menerusi petisyen untuk membebaskan segera Anwar.

 

Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, kuasa besar itu tiada sebab untuk mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan negara ini apatah lagi untuk membuli Malaysia.

 

Rakyat Malaysia juga kata beliau, wajar membuat petisyen yang sama supaya AS jangan mengganggu urusan negara ini.

 

Pada Awang, inilah akibatnya jika ada pemimpin seperti Anwar yang suka mengundang campur tangan asing. Sudah belasan tahun lamanya beliau melobi ke luar negara untuk berkuasa, terlalu banyak mentohmah kerajaan Malaysia dan sentiasa berusaha mendapatkan sokongan dunia agar mengenakan tekanan kepada negara kita semata-mata mahu menyelamatkan diri di sebalik kesalahannya.

 

Belajarlah sejarah pengkhianatan bagaimana tumbangnya sesebuah tamadun dan negara termasuk empayar Melaka angkara si Kitul.

 

Kini strategi dan pelaburan Anwar selama ini menjadi. Kuasa besar seperti AS mahu “meliwat” pula sistem perundangan dan kehakiman kita biarpun majoriti rakyat Malaysia akur dan menghormati keputusan mahkamah.

 

Bagi Awang, Anwar bukan sahaja mempunyai kesalahan jenayah seksual malah mengundang campur tangan asing, yang kesalahannya itu jauh lebih besar.

 

Kedaulatan tiada galang gantinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.