Banjir Terburuk Di Sabah?

KENINGAU: Banjir yang melanda daerah Keningau dan Tenom kelmarin adalah yang paling teruk dengan puluhan kampung terjejas berikutan hujan lebat yang turun jam 4 petang dan berterusan hingga lewat malam pada Rabu.

Beratus-ratus hektar sawah padi yang sudah mengeluarkan hasil, selain hasil pertanian lain turut musnah dan ratusan rumah turut ditenggalami air setinggi satu hingga tiga meter.

Banjir ini juga turut merosakkan harta benda awam di beberapa buah kampung berikutan beberapa batang sungai dilanda banjir antara jam 1 dan 2 pagi kelmarin.

Sungai-sungai yang dilanda banjir adalah Pegalan, Pamalan, Malintang, Apin-Apin, Liawan, Kauran, Mempikit dan Liawan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun turut terkorban berikutan bot yang menyelamatnya bersama beberapa orang lain terbalik di Kampung Mempikit Laut.

Antara kampung yang terjejas teruk pada banjir kali ini adalah Ansip Laut, Ansip Tengah dan Pagalungan dalam kawasan Sook dengan lebih 1,500 mangsa terlibat dalam bencana itu.

Seramai 1,060 penduduk Kampung Ansip Laut, Ansip Tengah dan Pagalungan dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan SK Cheng Meng berikutan banjir Sungai Pegalan dan Sook yang menyebabkan sebahagian rumah penduduk ditenggalami air setinggi dua hingga tiga meter.

Sementara itu, Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Dalit Daerah Kecil Sook Sukilim Andamat berkata, lapan buah kampung turut terjejas iaitu Mampulut, Mambulu, Dalit Gana, Dalit Stesen, Dalit Laut, Sanang dan Bonor selain tiga buah sekolah rendah iaitu SK Kuala Kahaba, SK Dalit dan SK Bonor serta Perpustakan Desa Kampung Kahaba.

Menurut penduduk kampung, jalan dari Kampung Dalit ke Kampung Bonor tidak dapat dilalui kenderaan, sehubungan itu orang ramai dinasihati untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Libodon.

Lain-lain kampung yang turut terjejas teruk ialah Gasabon, Kapayan Lama, Tigot, Kota Ayangan, Baginda, Toboh Laut, Banjar, Lingkudau dan Mempikit Laut.

Seramai 14 penduduk Kampung Toboh Laut dan sembilan penduduk Kampung Kota Ayangan dipindahkan ke bangunan balairaya Kampung Toboh Laut berikutan rumah mereka dinaiki air sehingga satu meter.

Sementara itu, 14 buah rumah di Kampung Lingkudau dinaiki air berikutan banjir Sungai Bariawa dan enam keluarga lagi turut terjejas di Kampung Baginda apabila rumah kediaman mereka dinaiki air.

Turut melawat keadaan banjir adalah Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pegawai Daerah Haji Yusop Haji Osman, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau Augustine Nain, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Augustine meminta pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan terlibat agar dapat membantu anak-anak buah mereka dengan menyenaraikan nama dan nombor kad pengenalan bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
“Saya juga meminta agar penduduk dapat dinasihatkan agar tidak membiarkan anak-anak mereka bermain berdekatan sungai yang sedang banjir,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama penuh dalam menangani mangsa-mangsa banjir terutama sekali pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam selain pemimpin masyarakat di kampung-kampung terlibat.

Di Tenom, Penolong Pegawai Daerah Clarence Puin Piduru berkata, 20 buah kampung di daerah itu terjejas iaitu Bangkulin, Jalan Tomani, Gumisi, Kemabong Lama, Pamaluian, Paal, Enubai, Sindungon, Talasasan, Talipasu, Tumantalik, Tenom Lama, Batu 8, Batu 6, di Jalan Sapong, Seri Menanti 3, Bunut, Binsilon, Pantugon dan Kanar.
Katanya, kawasan perkampungan di Jalan Tomani-Tenom turut terjejas akibat banjir Sungai Pegalan dan Padas. – Borneo Post.

[Gambar Ihsan Jabdin Juhat]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.