Cadangan Zahid RUU kerajaan kekal sebabkan pemerintahan ala diktator, korup – Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Saranan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaaan Rang Undang-Undang (RUU) pembentukan kerajaan kekal hingga tamat penggal boleh menyebabkan pemerintahan ala diktator dan korup.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sistem tersebut tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, sebaliknya relevan di negara republik yang mempunyai sistem pilihan raya presiden.

“Malaysia menggunakan sistem demokrasi berparlimen, bukan demokrasi republik seperti di Indonesia, Filipina, Perancis atau Amerika Syarikat yang ada tempoh tetap pilihan raya Presiden mereka.

“Kita mengguna pakai sistem seperti di Parlimen British, iaitu sistem demokrasi berdasarkan jumlah kerusi Ahli Parlimen dalam menentukan parti mana yang layak membentuk kerajaan. Malaysia tidak ada pilihan raya memilih Perdana Menteri secara langsung seperti dalam sistem memilih Presiden. Jadi saranan Ahmad Zahid itu tidak sesuai di Malaysia,” lapor Utusan di Johor.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU diwujudkan bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal.

Cadangan itu susulan dakwaan terdapat gerakan menumbangkan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Langkah Dubai atau akuan bersumpah (SD).

Mengulas lanjut, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, sekiranya sistem tempoh kerajaan tetap hingga cukup penggal dilaksanakan secara paksaan, sukar untuk menggantikan kerajaan yang terlibat dalam rasuah.

“Oleh itu, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sesuai dan relevan dilaksanakan di Malaysia, apatah lagi telah terbukti sejak lebih 60 tahun negara merdeka.

“Apa yang perlu dipinda adalah Perkara 43(4) supaya dinyatakan dengan jelas secara bertulis bahawa penentuan sama ada Perdana Menteri itu ada majoriti atau tidak hendaklah dibuat dalam Dewan Rakyat menerusi sama ada usul percaya daripada kerajaan atau usul tidak percaya daripada pihak pembangkang.

“Juga perlu dinyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa menolak sebarang usul untuk menentukan legitimasi sokongan terhadap Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat,” katanya sambil memberitahu rakyati pastinya tidak mahu Dewan Rakyat dikongkong seperti apa yang terjadi kepada Umno di bawah pentadbiran Zahid ketika ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat