Sultan Abdullah Sebak Ketika Istiadat Pemasyhuran, Mohon Rakyat Doakan Kesejahteraan Ayahanda

PEKAN – Sultan Pahang, Sultan Abdullah tidak dapat menahan sebak ketika mengajak rakyat mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering.

Dalam dalam tersekat-sekat kerana menahan sebak, baginda mengajak seluruh rakyat berdoa kepada Allah SWT memohon Sultan Ahmad Shah dilindungi dan dirahmati.

“Saya memohon agar sekalian rakyat jelata untuk menadah tangan ke hadrat Ilahi, memohon apalah sudi kiranya juga dilindungi dan dirahmati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Mu’adzam Shah,” titah baginda yang kelihatan turut menyekang air mata.

Baginda bertitah demikian pada istiadat pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang keenam dalam era moden di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Sultan Pahang keenam bertitah, baginda insaf atas kurniaan Allah SWT untuk menjunjung susur galur takhta kerajaan Pahang yang diriwayatkan sejak 1882.

“Saya turut insaf dan berasa kerdil pula tubuh ini kerana takhta ini diwarisi daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. Baginda merupakan seorang raja pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat jelata. Ia akan terpahat segar dalam lipatan sejarah,” titah baginda. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.