PAS Bantah Menteri Lantik Eric Paulsen Wakili Malaysia

KUALA LUMPUR – Pas membantah sekeras-kerasnya pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Menurut Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, dia tidak layak mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia kerana sering menghina Islam.

“Apa motif sebenar Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah melantik Eric Paulsen?” ujarnya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam Saifuddin berkata, pemilihan Eric dibuat menerusi proses pemilihan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan secara khusus untuk meneliti dan menilai kesemua calon senarai pendek.

Katanya, kerajaan bersetuju melantik Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty itu setelah melalui proses pemilihan terbuka dan ini adalah kali pertama Malaysia menggunakan kaedah itu selepas Indonesia dan Thailand.

Menurut Nasrudin, umum tahu Pas dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membantah ICERD yang merupakan salah satu konvensyen antarabangsa yang mahu diratifkasikan oleh Menteri Luar walaupun ditolak sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kini, katanya, beliau sengaja sekali lagi membuat provokasi dengan melantik individu yang biadab dan menghina Islam bagi mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia di Malaysia.

“Pas minta umat Islam bangkit menolak pelantikan Eric Paulsen dan menggesa Menteri Luar membatalkan pelantikan tersebut.

“Apa yang membimbangkan rakyat adalah segelintir menteri cuba membawa doktrin liberal dan anti Islam sebagai tokoh negara.

“Padahal, Malaysia mempunyai sendi utama yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!