Calon Bebas Gesa Siasat Segera Kegiatan Beri Wang Kepada Orang Asli

TANAH RATA — Calon Bebas bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee mendesak pihak berwajib melakukan siasatan segera berhubung dakwaan kegiatan memberi wang kepada Orang Asli oleh jentera sebuah parti politik yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Wong, 41, berkata jika benar dakwaan itu, ia amat mengecewakan.

Beliau berharap semua calon dapat melaksanakan kempen selama dua minggu ini secara bersih, amanah dan lancar.

Jika calon lain memulakan kempen sebaik sahaja selesai proses penamaan calon pada Sabtu lalu, peladang bunga kekwa Wong Seng Yee yang bertanding atas tiket Bebas jelas tidak mahu tergesa-gesa apabila hanya memulakan kempennya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam.

Sementara itu, Seng Yee juga memulakan kempen dengan cara yang agak berbeza apabila membawa sekumpulan wakil media ke ladang bunga kekwanya di Habu dekat sini, bagi berkongsi rutin hariannya.

“Beginilah saya setiap hari dan inilah uniform yang saya pakai,” katanya yang tampil berseluar kargo, bertopi mengkuang dengan but kuning “Phua Chu Kang” kepada wakil media.

Menurut pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang hortikultur daripada Unversity of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat itu, beliau mengusahakan ladang kekwa seluas empat hektar sejak 15 tahun lalu sementara keluarganya terlibat dalam penanaman orkid. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.