Tanah Runtuh, Kereta Terbabas Dalam Gaung

MERSING – Seorang lelaki warga emas bersama-sama keluarganya nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dalam gaung di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, kereta dipandu Swee Ah Pang, 60, hilang kawalan apabila berlaku tanah runtuh secara tiba-tiba semasa melalui jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, kenderaan warga emas itu menjunam dalam gaung berkeluasan kira-kira 70 meter dengan ketinggian cerun 15 meter.

“Polis terima panggilan orang awan menyatakan satu kejadian tanah runtuh dan mendap berlaku di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing.

“Dalam kejadian itu sebuah kereta terjatuh dalam gaung. Mangsa bersama-sama penumpang tidak mengalami kecederaan serius dan dirujuk ke Hospital Mersing bagi pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini, lapor Utusan

Beliau berkata, laluan tersebut tidak selamat untuk dilalui mana-mana kenderaan ringan atau berat dan ditutup sepenuhnya.

Katanya, jalan alternatif yang boleh digunakan adalah melalui Jalan Nitar-Jemaluang untuk mana-mana orang awam yang mahu ke Johor Bahru atau Mersing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.