Tak Bersedia Bergelar Pelawak

Sejak menjuarai program komedi Super Spontan Superstar 2017, pelakon kontroversi Kamal Adli dibanjiri pelbagai tawaran berkaitan dunia komedi.

Terbaru, jejaka berusia 31 tahun itu bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara bersama pelawak Fad Bocey dalam rancangan Gegar Lawak yang bakal ditayangkan di Astro Warna bermula 19 Januari ini.

Namun begitu, Kamal mempunyai pendirian dan apabila dimana tidak mahu dikenali sebagai pelawak sebaliknya lebih selesa dingati sebagai pelakon drama serta filem.

“Saya lebih selesa melakukan sesuatu mengikut kepakaran apabila saya lebih mahir dalam dunia lakonan.

“Mengenai dunia komedi, sebenarnya saya tidaklah begitu mahir, ia hadir secara spontan yang secara tidak langsung nampak kelakar. Bagaimanapun, fokus utama saya tetap terhadap bidang lakonan,” katanya.

Tambah Kamal, dia sekadar mencuba nasib dalam dunia komedi dan tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya.

“Bagai bermimpi apabila saya diangkat sebagai juara Super Spontan Superstar 2017.

“Saya tidak bersedia untuk bergelar pelawak. Mungkin kerana saya bukan orang yang boleh berdiri di atas pentas dan buat lawak seperti yang biasa dilihat dalam pertandingan komedi. Saya tidak pandai menggeletek hati penonton,”katanya.

Beralih mengenai perancangan sepanjang 2018, Kamal berharap dia dijauhkan dengan sebarang malapetaka dan kontroversi.

“Kalau boleh saya mahu melupakan semua kontroversi yang berlaku sepanjang 2017.

“Saya juga berharap dijauhkan daripada malapetaka kerana pernah berdepan detik cemas apabila terbabit kemalangan motosikal dan kereta.

“Tahun lalu turut melakar detik manis apabila saya menjuarai Super Spontan Superstar serta meraih anugerah Pelakon Lelaki Prolifik.

“Justeru, 2018 adalah permulaan terbaik untuk saya lebih fokus dalam bidang perniagaan bersama seorang rakan baik,”katanya.

Perkembangan lain, Februari ini Kamal bakal menjalani penggambaran filem komedi seram berjudul Zaara.

“Selepas itu, saya akan menjayakan drama bercorak kepolisan terbitan Astro. Bagaimanapun, tajuknya belum diputuskan lagi,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.