Selepas `Sandiwara Kelas Pertama’ Azmin Kini Main Wayang?

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali beberapa hari lepas mencetuskan tanda tanya berhubung tulisannya dalam twitter “sandiwara kelas pertama’. Ramai yang mengaitkan tweet berkenaan dengan kekecewaan Mahathir Mohamad yang gagal bertemu Anwar Ibrahim di hospital minggu lepas.

Selepas mencetuskan banyak persoalan mengenai tweet berkenaan, Azmin kemudiannya telah mempelawa Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan calon Perdana Menteri PH, untuk bertanding di kerusinya di di Parlimen Gombak.

Namun ia ditolak oleh Mahathir.

“”Ya. Terima kasih banyak-banyak. Tetapi saya sudah buat keputusan,” kata Mahathir kepada Azmin. Mahathir membuat keputusan untuk bertanding di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya sahaja.

Apabila Azmin, membuat pelawaan berkenaan, ramai yang menyifatkan ia sebagai `wayang’ atau sandiwara semata-mata apatah lagi sebelum ini tersebar spekulasi bahawa Azmin mahu berhijah ke Parlimen Shah Alam pula.

Ini kerana Azmin dikatakan mempunyai peluang tipis untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke 14 (PRU-14) selepas tiada lagi sokongan daripada PAS.

Ini bermakna jika Mahathir bertanding di situ, maka bak kata ramai, beliau akan jadi `lauk’ di situ.

Malah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki memaklumkan bahawa kerusi Parlimen Gombak tidak selamat untuk PKR berdasarkan kajian dan analisis apabila berlaku pertandingan tiga penjuru kelak.

“Bila dia sendiri tidak selamat, saya yakin Dr Mahathir lagi tak selamat, sebab pengundi Gombak ini adalah pengundi urban (bandar).

“Mereka yang melalui reformasi dulu, mereka yang pernah ikuti zaman Dr Mahathir, mereka banyak tertekan kerana nampak apa yang berlaku (ketika era Dr Mahathir).

“Jadi kalau Dr Mahathir bertanding di sini (Gombak) ia adalah usaha untuk menggagalkan Dr Mahathir jadi Perdana Menteri,” kata Zuhdi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.