Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

Ringgit kekal dalam aliran harga meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (US) pada pembukaan pagi ini, susulan minat belian berkekalan ke atas unit tempatan itu, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan mencatatkan paras 3.9580/9610 berbanding dolar US daripada 3.9700/9730 pada penutupan Jumaat.

Ketua Pedagang Asia Pasifik Oanda Corp Stephen Innes berkata tarikan terus memihak kepada ringgit susulan harga minyak yang lebih tinggi, kemunculan trend dolar US yang lemah, ekuiti US yang melonjak, landskap ekonomi domestik yang stabil serta kemungkinan Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah.

“Dari perspektif teknikal, peningkatan melepasi paras kritikal 3.98 menjadikan paras 3.95 boleh dicapai dalam tempoh terdekat.

“Namun, berdasarkan pasaran sudah memberikan isyarat yang sama sejak tiga bulan lepas, persoalan sebenar ialah apakan pemangkin utama seterusnya akan muncul?” katanya dalam nota kajiannya hari ini.

Innes berkata Malaysia merupakan penerima manfaat utama Inisiatif Jalan dan Jalur (BRI) kerana China akan terus mengeksport lebihan kapasiti menerusi pelaburan langsung asing, yang meluaskan kontrak pembinaan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan kritikal BRI.

“Ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik dan BRI akan menyediakan faktor utama peningkatan luar biasa ringgit sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9917/9951 daripada 2.9895/9924 pada Jumaat dan rendah berbanding yen kepada 3.5735/5772 daripada 3.5727/5761.

Ringgit juga lemah berbanding pound British kepada 5.4407/4460 daripada 5.4040/4084 dan rendah berbanding euro kepada 4.8299/8348 daripada 4.8128/8181.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.