Pelancong Panik Gara-Gara Amaran Palsu Serangan Peluru Berpandu

Hawaii (Amerika Syarikat): Pelancong dan penduduk Hawaii semalam panik lebih setengah jam akibat amaran palsu mengarahkan mereka berlindung kerana serangan peluru berpandu balistik yang dihantar secara tidak sengaja.

Amaran dihantar ke telefon bimbit mengatakan ‘ancaman peluru berpandu ke Hawaii. Cepat berlindung. Ini bukan latihan’ itu turut disusuli amaran kecemasan disiarkan rangkaian televisyen dan radio tempatan yang turut mengarahkan orang ramai masuk ke dalam bangunan atau jika memandu, supaya menghentikan kenderaan serta mencari perlindungan.

Selama 38 minit selepas itu, dalam pada pihak berkuasa berusaha memperbaiki keadaan, orang ramai dilaporkan meringkuk di dalam tab mandi atau garaj kediaman beramai-ramai sambil menangis dan berdoa.

Ada yang meletakkan anak mereka dalam longkang bawah tanah, manakala tidak kurang juga yang menghantar pesanan kepada orang tersayang mengucapkan selamat tinggal.

Menurut pihak berkuasa, latihan rutin ketika pertukaran syif pada jam 8.05 pagi (waktu tempatan) secara tidak sengaja menyebabkan amaran dicetus dua minit kemudian oleh seorang kakitangan Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii (HI-EMA).

Media sosial dipenuhi video, gambar dan kenyataan orang ramai mencari perlindungan, malah wakil negeri Hawaii Matt LoPresti mengakui kepada CNN: “Saya duduk di dalam tab mandi bersama anak-anak dan kami semua tidak henti berdoa.”

Pelakon Jim Carrey juga berkata, dia menyangka hayatnya cuma tinggal 10 minit saja lagi. – Daily Mail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.