Manifesto PH Akan Hadkan Jawatan PM Untuk Dua Penggal, Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal sahaja

Memetik laporan Bernama, Mukhriz Tun Mahathir berkata cadangan itu merupakan antara manifesto pakatan pembangkang jika menang pilihan raya umum akan datang.

Cadangan tersebut diumumkan semasa beliau berucap di majlis pelancaran rasmi PPBM Bahagian Setiawangsa semalam

Mukhriz bagaimanapun tidak mengulas rekod sejarah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun atau lebih dari empat penggal (1981-2003) sewaktu bersama Barisan Nasional (BN).

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir yang berhasrat menjadi Perdana Menteri sekali lagi, berkata perjuangan PPBM ialah untuk 30 juta rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat berhak memilih pemimpin mereka melalui cara demokrasi. Sekiranya Pakatan Harapan tidak bersatu hati, kita tidak akan mampu bersaing dalam PRU14 akan datang,” katanya di majlis yang sama.

Mengulas kawasan yang mahu ditandinginya pada pilihan raya kelak, Dr Mahathir berkata beliau telah membuat keputusan untuk hanya bertanding di salah satu dari tiga kerusi iaitu Parlimen Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

“Terima kasih Azmin atas pelawaannya untuk saya bertanding di Gombak,” katanya sebagai reaksi kepada cadangan pelawaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang bersedia memberi laluan untuk Pengerusi PBBM itu bertanding di Parlimen Gombak. — SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.