Keluarga Rancang Bawa Farid Kamil Dapatkan Rawatan Hospital

PETALING JAYA – Adik pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil Zahari, Dr. Anis Anwar berhasrat untuk membawa abangnya untuk mendapatkan rawatan kesihatan lebih terperinci di hospital.

Anis, 30, yang juga seorang doktor bahagian Ortopedik di sebuh hospital swasta memberitahu, perancangan utama kami sekeluarga adalah untuk mengenal pasti tahap kesihatan Farid sebelum membuat sebarang keputusan mengenai rawatan yang bakal dilakukan kelak.

Katanya, terdapat pelbagai peringkat proses perubatan yang perlu dilakukan sebelum mengesahkan tahap kesihatan Farid terutama melibatkan tekanan mental.

“Tekanan juga merupakan salah satu daripada masalah mental, tetapi sebelum membuat sebarang keputusan kita perlu menjalani beberapa peringkat rawatan terlebih dahulu.

“Perancangan kami selepas dia (Farid) dibenarkan diikat jamin, kami akan terus mendapatkan rawatan di hospital untuk mengetahui punca dia bersikap sedemikian,” jelas Anis yang turut hadir ke mahkamah.

Sementara itu, dua pelakon popular tanah air, Azhan Rani dan Azad Jasmin turut dilihat hadir sebagai tanda sokongan buat pelakon filem J Revolusi berkenaan.

Mengakui terkejut apabila mengetahui berita mengenai Farid, Azhan Rani, 37, berkata, pada awalnya dia menjangkakan perkara tersebut hanya satu gimik filem dan tidak mengendahkannya.

“Saya mengetahuinya menerusi Twitter dan beranggapan ia sekadar satu gimik filem. Namun, setelah melihat berita tersebut tular di media sosial, saya berasa terkejut dan bersimpati,” jelasnya, petik Kosmo

Dalam pada itu, Azad mengharapkan peminat akan terus memberi sokongan kepada Farid sekeluarga.

“Secara peribadi saya memang telah lama mengenali Farid dan mengharapkan kalian sebagai peminat tetap memberi sokongan kerana itu yang diperlukan sekarang,” ujar pelakon filem Girlfriend Kontrak itu.

Terdahulu, Farid ditahan reman pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada Khamis lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.