‘Jalan Tiba- Tiba, Kereta Terjunam’

MERSING – Mangsa tanah runtuh di Jalan Jemaluang kira-kira jam 2.30 pagi masih trauma dengan kejadian tersebut namun bersyukur tidak memiliki kecederaan serius.

Anak perempuannya, Swee Yit Fen, 22 berkata, ayahnya, Swee Ah Pang, 60, berada di tempat duduk penumpang hadapan semasa kejadian tersebut.

“Ayah saya telefon dalam jam 2.30 pagi beritahu dia kemalangan. Saya memang terkejut.

“Masa kejadian ayah dengan kawan dia yang kami panggil Ah Fat dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk menghantar mak cik kami balik ke Jakarta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Menurutnya, selepas kejadian, ayah cedera ringan manakala pemandu dan penumpang belakang tidak cedera telah meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

“Ada kawan ayah seorang lagi datang dari arah Jemaluang tolong hantar Ah Fat dan mak cik ke Johor. Sebab nak kejar waktu penerbangan.

“Ayah baru keluar hospital selepas terima rawatan tadi tapi masih mengadu sakit dada dan bahagian belakang badan namun kami bersyukur dia selamat,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian, terdapat dua kenderaan melalui laluan itu dan kereta mangsa mengekori kenderaan di hadapan.

“Kata ayah, tiba-tiba saja kereta mereka bergerak ke bawah dan ketika kejadian memang gelap jadi mereka tak tahu apa berlaku.

“Kereta hadapan tadi lepas, tapi kereta yang ayah naik ini terus jatuh ke bawah bersama-sama tanah runtuh. Tanah itu runtuh ketika mereka lalu,” katanya yang turut memaklumkan kemalangan itu kejadian pertama menimpa ayahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.