Awie Lancar Kelab Motor Berindentiti Melayu

BANTING – Kumpulan rock legenda Wings melancarkan kelab permotoran Wings Motor Gang Society (WMGS) yang terbuka kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi 700cc ke atas dan hanya dianggotai oleh penunggang Bumiputera, di sini semalam.

Pada majlis pelancaran yang berlangsung dalam suasana penuh adat tradisional Melayu di Tadom Hill Resort, Banting, semalam, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, buat permulaan ahli hanya terbuka kepada Bumiputera bagi mengukuhkan dan menguatkan jati diri dan identiti bikers atau penunggang Melayu dalam aktiviti permotoran.

Awie yang disertai anggota Wings lain, Eddie dan Black sendiri tampil berbaju Melayu cekak musang, berjaket hitam lengkap bertengkolok songket bagi menunjukkan identiti Melayu kelab permotoran tersebut, lapor Kosmo

“Saya pernah melalui zaman ‘poyo’ sewaktu muda dahulu, saya tunggang motosikal dengan pakai jaket kulit tengah hari dengan perasaan poyo. Tetapi lama-lama saya fikir, saya tidak mahu mewariskan perasaan poyo itu kepada generasi masa depan penunggang motosikal.

“Buat masa ini, kami hanya tetap imej bertanjak dan pakai baju Melayu cekak musang. Kemudiannya mungkin akan diperkemaskan seiring tuntutan zaman kontemporari. Identiti kami tidaklah sampai naik motor pakai capal sebab tak sesuai dengan faktor keselamatan,” jelas Awie yang menekankan tiga prinsip utama kelabnya iaitu silaturrahim, ekonomi dan kebajikan.

Majlis yang turut disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Kuala Langat, Fazly Faizal Mohamed Razally itu dimeriahkan oleh seramai 600 jemputan termasuk 100 orang bikers dari Brunei, Thailand, Singapura dan seluruh negara yang merupakan ahli kelab WMGS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.