9 NGO Lapor Polis Dakwa Mahfuz Hina Sultan Pahang

KUANTAN – Sebanyak sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa memperlekehkan dan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Antara yang membuat laporan berkenaan ialah Majlis Belia Malaysia (MBM) negeri, Gerakan Belia 4B Malaysia negeri, Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Majlis Belia India Malaysia (MIYC) negeri, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Pertubuhan Aspirasi Anak Seni Pahang.

Pengerusi MBM negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, tindakan Mahfuz sebagai antara ahli politik senior disifatkan sebagai dangkal idea untuk bahan politiknya.

Katanya, kenyataan Mahfuz itu juga seolah-olah meraih simpati umum setelah tersisih sejurus keluar daripada Pas.

“Kami menganggap tindakan beliau sebagai biadap dan tidak menghormati institusi beraja yang diamalkan di negara ini. Ia jelas menunjukkan Mahfuz sebagai seorang yang ego dan tidak menunjukkan dirinya sebagai seorang ahli politik yang matang.

“Tindakan membandingkan keadaan (kesihatan) Sultan Pahang dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah sangat tidak bijak kerana kedudukan baginda melangkaui sistem politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Wan Emril Nizam berkata, selain mendesak siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dilakukan terhadap Mahfuz, mereka juga berharap tindakan tegas diambil sebagai pengajaran kepada individu atau ahli politik lain supaya tidak mengulangi kenyataan yang boleh mencemarkan institusi diraja di negara ini.

“Kalau kita nak harapkan beliau meminta maaf, itu tidak akan berlaku kerana semalam Mahfuz sudah mengatakan beliau tidak akan meminta maaf. Ini sudah jelas menggambarkan betapa egonya beliau.

“Kita mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada terhadap ahli Parlimen Pokok Sena itu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.