Wang Warga Emas Berjumlah RM800,000 Lesap

IPOH – Seorang warga emas kini hidup dalam keadaan ketakutan apabila diburu empat ah long selepas ditipu lebih RM800,000 oleh seorang kontraktor cat yang dikenalinya sejak tahun 2013.

 

Teo Kheng Lang, 64, tidak menyangka lelaki yang dikenalinya ketika mengambil upah mengasuh anak angkat individu terbabit dari tahun 2003 hingga 2006 telah membuat kehidupannya tidak tenteram sehingga ke hari ini.

 

Setiap hari dia mendakwa sering diburu lintah darat yang mahukan semula wang yang dipinjam lelaki terbabit dan bagi memastikan dia berada dalam keadaan selamat satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bercham pada 22 Oktober tahun lalu.

 

Dia yang kini bekerja sebagai tukang masak mendakwa lelaki terbabit pernah ke rumahnya di Taman Pakatan Jaya di sini pada tahun 2013 bertujuan untuk meminjam sejumlah wang daripadanya.

 

“Saya yang mempercayainya terus memberikan dua kad mesin pengeluaran automatik (ATM) kepadanya supaya dia sendiri boleh mengeluarkan wang.

 

“Ketika itu saya tidak terfikir yang dia menipu kerana alasan yang diberikan ketika dia meminta untuk meminjam wang adalah untuk membeli cat bagi kontrak mengecat yang diterimanya.

 

“Lelaki terbabit turut meyakinkan saya bahawa rumah yang saya diduduki terkena santau dan dia terpaksa pergi ke Thailand untuk berubat.

 

“Bagi tujuan tersebut saya telah menghabiskan RM180,000 wang simpanan saya. Dia datang meminta wang lagi dan saya telah meminjam wang lebih RM600,000 daripada anak lelaki, kawan-kawan serta jiran bagi membantu perniagaannya,” katanya ketika ditemui di pejabat MCA Perak di sini semalam.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kheng Lang memberitahu, dia turut diburu empat ah long kerana lelaki terbabit menyalahgunakan namanya untuk tujuan pinjaman wang berjumlah RM12,200.

 

“Akibat tidak puas hati dengan perkara tersebut, saya ke kedai buah-buahan milik isteri lelaki terbabit dan pekerjanya memberitahu dia sudah melarikan diri bersama anak-anaknya,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan awam dan pengaduan MCA Perak, Jimmy Loh Thim Kheun berkata, dia meminta lelaki terbabit untuk menghubunginya atau mangsa supaya kesemua pihak dapat mencari penyelesaian terbaik untuk masalah berkenaan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.