TPM Lancar Pelan Pembangunan Kampong Bharu

KUALA LUMPUR 15 Jan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB) yang bakal melibatkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM61 bilion.

 

Menurut Muhyiddin , penyediaan pelan induk itu memfokuskan kepada dua aspek penting iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan Kampong Bharu yang berkeluasan 301.38 ekar.

 

Katanya, sebanyak lima sesi turun padang telah diadakan dengan dihadiri 2,388 orang atau 56 peratus keseluruhan pemilik tanah Kampong Bharu yang mana sebanyak 88 peratus daripadanya menyatakan persetujuan untuk penempatan itu dibangunkan.

 

“Apa yang pasti, kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampong Bharu tidak akan sesekali meminggir dan mengabaikan hak pemilik dan pewaris tanah,” katanya pada majlis perasmian pelan induk berkenaan di sini hari ini.

 

Menurut Muhyiddin, pelan induk itu mencadangkan sejumlah 90 juta kaki persegi luas lantai pembangunan dan jumlah penduduk dijangka meningkat kepada 77,000 orang berbanding 18,372 orang pada masa kini.

 

“Dengan nilai potensi pelaburan yang begitu besar ini dijangka dapat mewujudkan 46,237 peluang pekerjaan menjelang 2035 khususnya kepada penduduk Kampong Bharu,” katanya.

 

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Astaman Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.