Senario Berubah, Melayu Kini Kurang Digeruni

Kuala Lumpur – Senario sudah berubah, orang Melayu bukan lagi dilihat sebagai kelompok digeruni. Kewujudan kumpulan-kumpulan tertentu yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan atas nama demokrasi menyulitkan lagi keadaan.

 

Malangnya, mereka juga terdiri daripada orang Melayu dan sudah berasa nikmat hasil perjuangan orang Melayu, lapor Utusan Malaysia hari ini.

 

Pengarang kanannya, Zulkiflee Bakar berkata, lebih buruk lagi apabila ada dalam kalangan pemimpin politik parti Melayu yang sepatutnya dalam apa keadaan mesti meletakkan kepentingan bangsa dan agama di hadapan.

 

Tambahnya, sememangnya demokrasi membenarkan mereka menyokong sesiapa sahaja dan demokrasi juga mengizinkan mereka menyebelahi mana-mana juga pihak, tetapi biarlah berpada-pada.

 

“Orang Melayu tidak perlu gundah gulana apatah lagi menuding jari menyalahkan orang lain jika ada pihak menyentuh sensitiviti mereka. Sebaliknya apa yang mereka perlu lakukan ialah bermuhasabah mencari punca kenapakah wujudnya keberanian luar biasa tersebut.

 

“Apa yang diminta daripada orang Melayu bukanlah bermusuh dengan kaum lain tetapi memastikan mereka berada dalam satu barisan mempertahankan hak dan kepentingan mereka. Bagaimanapun setakat ini semua itu sekadar mimpi yang masih belum kesampaian,” katanya menurut laporan akhbar tersebut.

 

Perbezaan politik, katanya, menjadi penghalang untuk menyatukan orang Melayu, kerana masih ada pihak yang tidak senang dengan saranan supaya UMNO dan PAS bekerjasama.

 

Malah, tambahnya, mereka membentangkan hujah memualkan sehingga dalam soal membantu mangsa banjir di Kelantan sekali pun awal-awal lagi ada pihak sudah memberi peringatan ia sekadar kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, bukannya kerjasama politik.

 

Katanya, apapun untuk ditafsirkan berhubung kerjasama berkenaan tetapi apa yang pasti majoriti orang Melayu menarik nafas lega apabila melihat Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed duduk semeja bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob bagi membincangkan usaha memulihkan negeri itu yang ditimpa musibah banjir.

 

“Ramai orang Melayu sama ada yang mempunyai fahaman politik atau tidak mahukan penyatuan Melayu berlaku secara total. Bagi mereka, soal untuk berbalah dalam isu-isu politik adalah soal kedua dan ia hanya perlu difikirkan dalam musim pilihan raya, tetapi pada masa lain Melayu perlu bersatu,” ujarnya.

 

Selain itu, beliau yang turut menyentuh mengenai rasa fobia atau kebimbangan melampau kononnya jika berlaku penyatuan orang Melayu, sokongan politik kepada parti-parti induk Melayu akan tergugat atau kaum lain akan berasa takut, sedangkan sejarah negara membuktikan perpaduan kukuh dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam menjadi teras keamanan dan keharmonian negara ini.

 

Beliau turut mengingatkan bahawa, usaha menyatukan orang Melayu akan menjadi bertambah sukar apabila ada dalam kalangan orang Melayu sendiri biarpun tidak mempunyai apa-apa fahaman politik begitu taksub mengkritik atau ada antaranya sampai ke tahap menghina pemimpin Melayu.

 

“Masih ramai orang Melayu masih ‘tidur’ terutamanya kelompok yang sentiasa ‘bermimpi’ untuk ‘menawan Putrajaya,’” katanya lalu menyambung, “Kelompok ini kalaupun ‘terkejut’ daripada ‘tidur’ tetap berada dalam dunia mimpi sebab itulah mereka menganggap satu mimpi ngeri jika ada usaha untuk menyatukan orang Melayu.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.