Saksi Sedih Tidak Sempat Alih Tayar Punca Kemalangan

TAPAH 15 Jan. – Seorang pemandu kereta melahirkan rasa sedih dan kesal kerana tidak sempat mengalih tayar yang terletak di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan yang membunuh lapan orang di sini awal pagi tadi.

 

“Saya sangat terkejut dengan kejadian itu dan berasa sedih kerana niat asal saya ialah mahu mengalihkan tayar tersebut bagi mengelak kemalangan, namun sebaliknya saya melihat sendiri kemalangan ngeri di hadapan mata saya,” kata Parvinder Singh, 35.

 

Beliau menceritakan tentang kemalangan yang berlaku di Kilometer 326.3 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Tol Tapah kira-kira 1.15 pagi yang mengakibatkan lapan orang termasuk pemandu sebuah bas persiaran maut.

 

Bas berkenaan yang membawa 30 penumpang dari Kuala Kurau, Parit Buntar menuju Genting Highlands dilapor cuba mengelak sebuah tayar lori di tengah jalan sehingga menyebabkannya terbabas ke dalam parit dan terbakar.

 

Sebanyak 22 penumpangnya turut cedera.

 

Parvinder berkata, beliau dalam perjalanan untuk pulang ke Gopeng dan mahu melakukan Pusingan U di Tapah apabila terlihat sebiji tayar lori di tengah jalan dan terfikir untuk mengalihkannya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

 

“Ketika saya berada di bahu jalan untuk mengawal lalu-lintas sebelum mengalihkan tayar tersebut, tiba-tiba datang sebuah bas melanggar tayar itu sehingga menyebabkan ia terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pula kereta saya yang diletak kira-kira 100 meter dari situ,” kata peronda ‘bengkel bergerak’ ini.

 

Beliau berkata, akibat kejadian itu, api terus marak dan membakar bas persiaran terbabit dan keretanya.
Ketika itu beliau sedang menghubungi pihak PLUS untuk mendapat bantuan.

 

Parvinder berkata, beliau sempat menolong mengeluarkan lima orang mangsa daripada bawah bas.
“Saya juga mendengar ramai orang menjerit meminta tolong, tapi saya tidak mampu hendak menolong semua mereka,” katanya.

 

Beliau turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.