Saham RHB Meningkat Selepas Penamatan Rundingan Penggabungan Mega

Kuala Lumpur – Saham RHB Capital Bhd di Bursa Malaysia meningkat selepas rancangan penggabungan mega dengan CIMB dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) ditamatkan.

 

Pada 11 pagi, harga sahamnya meningkat lapan sen kepada RM7.73, dengan 844,700 saham bertukar tangan. Kaunter itu dibuka dengan premium 15 sen pada RM7.80.

 

Selepas penamatan rundingan itu, AllianceDBS menjangkakan RHB Capital akan memperuntukkan perbelanjaan tambahan atau perbelanjaan modal untuk pelaburan dalam sistem teras baharu perbankannya.

 

“Kami yakin RHB Capital akan mengembalikan tumpuan terhadap strategi ‘IGNITE’ yang bermatlamat membangunkan francais domestik dan serantaunya menjelang 2020.

 

“Strategi menjadi kuasa serantau di Asean+ (termasuk Wilayah China), merupakan tunggak kepada agenda ini. Cadangan perniagaannya di Singapura bagi mencergaskan semula segmen perusahaan kecil dan sederhana, semakin mendapat sambutan,” katanya dalam nota kajiannya pada Khamis.

 

Rundingan penggabungan mega itu ditamatkan pada Rabu berikutan situasi ekonomi semasa, kata pihak-pihak yang terlibat dalam kenyataan bersama.

 

Pengarah Urusan RHB Capital Group Kellee Kam berkata: “Kami mengadakan perbincangan untuk cadangan penggabungan itu atas dasar bahawa kami akan dapat mencapai cadangan peningkatan nilai untuk pemegang kepentingan dan seterusnya membawanya kepada pemegang saham.

 

“Melindungi dan mewujudkan nilai pemegang saham sangat penting kepada semua pihak dan berikutan perubahan persekitaran semasa, kami tidak dapat memuktamadkan kes untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.