PM Umum Pakej Bantuan Menyeluruh Mangsa Banjir Selasa Ini

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari ini, beliau akan mengumumkan pakej bantuan menyeluruh bagi mangsa-mangsa banjir pada Selasa ini.

 

Najib berkata, bantuan termasuk bagi golongan peniaga itu merupakan antara strategi dalam dasar negara bagi menghadapi cabaran 2015 ekoran banjir besar yang berlaku di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur.

 

“Saya lihat sendiri bandar-bandar seperti Kuala Krai yang tak ada urusan perniagaan, kedai-kedai musnah. Bayangkan kita miliki kedai dengan semua barangan musnah.

 

“Kita lihat rumah tersadai di tepi jalan, air deras dengan banjir yang dahsyat. Pada minggu depan, hari Selasa, saya akan mengumumkan Dasar Negara Hadapi Bencana 2015 dan pakej menyeluruh bantu mangsa banjir serta peniaga,” kata Najib.

 

Najib berkata demikian dalam ucapan perasmian Menara Kembar Bank Rakyat (MBKR) di Jalan Rakyat di sini hari ini.

 

Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan inisiatif Produk Pembiayaan Peribadi-i yang ditawarkan oleh Bank Rakyat bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

 

Katanya, Peribadi-i menawarkan pembiayaan maksimum RM50,000 dengan kadar faedah serendah 3.9 peratus bagi tempoh bayaran balik sehingga tujuh tahun.

 

“Antara syarat ialah pemohon perlu mengemukakan bukti atau dokumen pengesahan mangsa banjir daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau laporan polis.

 

“Pembiayaan ini membenarkan mangsa banjir tidak membuat bayaran untuk enam bulan pertama. Tempoh permohonan bermula 19 Januari hingga 19 Februari depan,” kata Najib.

 

Najib berkata, pembiayaan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mangsa banjir mengurangkan beban yang ditanggung.

 

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penukaran nama Jalan Travers kepada Jalan Rakyat.

 

MKBR mempunyai dua buah menara. Menara 1 setinggi 36 tingkat dibina dengan keluasan lantai 39.58 meter persegi (426,433 kaki persegi), sementara Menara 2 setinggi 32 tingkat dibina dengan keluasan lantai 36.70 meter persegi (395,958 kaki persegi). – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.