Penganalisis: Tidak Calonkan Hadi Cadangan Baik

SHAH ALAM – Cadangan agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden Pas semula pada pemilihan parti 2015-2017 akan datang disifatkan sebagai satu syor yang baik.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, Pas perlu berjalan seiring dengan perubahan zaman dan parti itu memerlukan seorang pemimpin yang mampu membawa Pas terus ke hadapan.

 

Beliau berkata, seorang Presiden parti perlu mampu menjalinkan hubungan lebih baik dengan parti komponen serta berusaha meredakan ketegangan yang wujud.

 

“Kalau nak mereformasi Pas supaya sesuai dengan tuntutan zaman dan mengambil kira kedudukan Nik Aziz yang sudah berusia serta tidak begitu sihat, saya fikir memang cadangan itu baik asalkan Abdul Hadi itu ikhlas untuk berundur.

 

“Seorang Presiden itu harus seorang yang lebih dinamik, lebih maju pemikirannya dan dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan parti komponen yang lain untuk meredakan ketegangan yang wujud sekarang,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

 

Mengulas lanjut beliau berpandangan kerusi itu dijangka bakal diganti dengan golongan ulama yang lebih arif dengan perjuangan sebenar Pas.

 

Ketika ditanya dakwaan yang menyebut Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai pengganti Abdul Hadi, Dr Jeniri berkata, Mat Sabu dilihat sebagai pengimbang dalam Pas.

 

“Memang ada puak yang suka kepada pemimpin lain (bukan Abdul Hadi). Sebagai contoh, Mat Sabu itu dilihat sebagai pemimpin dan pengimbang antara dua kuasa itu dalam Pas sekarang.

 

“…Walaupun tidak dinafikan ada puak yang tidak suka Mat Sabu. Jadi, itu bergantung pada sokongan di pihak tertinggi Pas sama ada mereka menyokong atau tidak,” katanya.

 

Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya disalurkan melalui mesyuarat parti.

 

“Kalau Pemuda Pas tak setuju, dia perlu bawa kembali perkara itu kepada mesyuarat majlis tertinggi Pas, buat mesyuarat khas. Sama ada mereka sokong kenyataan Pemuda itu atau tidak.

 

“Abdul Hadi dipilih melalui mesyuarat agung secara demokrasi. Ikut mana-mana peraturan organisasi pun, seseorang yang dilantik secara demokrasi melalui pemilihan ramai kalau nak diturunkan perlu melalui mesyuarat agung kembali.

 

“Kecuali mereka mahu menggunakan cara politik. Paksa Abdul Hadi dan beliau menarik diri. Kalau dia tarik diri serta meletak jawatan,” katanya.

 

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Sharif dalam laman Facebooknya mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017, yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.