Pasaran Ekuiti Malaysia Diramal Baik

PASARAN ekuiti Malaysia dijangka bertambah baik dalam separuh kedua tahun ini berikutan pemulihan harga minyak dunia, mengikut kenyataan UOB Asset Management (Malaysia) Berhad (UOBAM).

 

Ketua Pegawai Pelaburan UOBAM, Francis Eng berkata, prestasi pasaran ekuiti Malaysia terjejas oleh harga minyak rendah untuk jangka masa pendek.

 

“Kami jangka pasaran ekuiti tempatan mengalami sedikit perubahan tidak menentu sehingga harga minyak pulih, seperti yang dijangka, pada separuh kedua tahun ini.

 

“Sementara itu, situasi pasaran menyediakan peluang baik bagi para pelabur untuk memperoleh stok di bawah nilai sebenar namun mempunyai landasan kukuh. Penurunan harga minyak akan beri faedah kepada syarikat-syarikat yang berhubung-kait dengan industri pengangkutan.

 

Begitu juga kekukuhan nilai dolar AS yang beri faedah kepada para pengeksport. Syarikat-syarikat seperti ini juga merupakan sasaran pelaburan baik,”katanya dalam kenyataan, semalam.

 

Menurutnya, nilai pasaran ekuiti Asia kini diperdagangkan pada nilai yang berpatutan dan pihaknya meramal pasaran tersebut meningkat di sebahagian besar rantau ini.

 

Sementara itu, peningkatan kadar faedah AS yang meningkat secara mendadak tahun ini boleh menyebabkan sedikit ketidakpastian pada masa terdekat, namun ekonomi Asia tetap mampu bertahan dari pengaruh luaran.

 

Ketua Ekuiti Antarabangsa UOB Asset Management (Singapore) Ltd, Shay Pang pula berpendapat penurunan harga minyak mendadak menyebabkan kadar inflasi pada kadar rendah seluruh dunia tetapi, kekukuhan nilai dolar AS akan mengurangkan impak penurunan harga minyak. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.