Kes Cerai Awie : Mahakamah Ketepikan Hak Jagaan Anak Sementara

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengetepikan perintah hak jagaan anak sementara yang diperoleh vokalis kumpulan Wings, Awie, ke atas tiga anaknya pada Julai, tahun lepas.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan isteri Awie, Rozana Misbun, 37, untuk mengetepikan perintah yang diperoleh Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman.

Mahkamah turut memerintahkan Awie, 47, yang diwakili peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, membayar kos RM5,000.

Dalam penghakimannya, Mohd Amran berkata mahkamah berpuas hati bahawa secara keseluruhannya Awie tidak tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan sijil nikah dikemukakan untuk mendapat jagaan adalah tidak wujud dan tidak berdaftar.

Mohd Amran berkata mahkamah berpuas hati bahawa Awie tidak tinggal di Wilayah Persekutuan ketika mengemukakan permohonan jagaan anak sementara itu, sebaliknya menggunakan alamat permastautinan di Ukay Perdana, Ampang, Selangor seperti dalam kad pengenalannya (Awie).

“Mahkamah juga berpuas hati bahawa sijil nikah tidak berdaftar di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang adalah satu dokumen yang tidak wujud dan tidak berdaftar.

“Susulan itu, semua kes yang berkaitan termasuk permohonan hak jagaan kekal adalah dibatalkan,” katanya.

Pada 21 Julai tahun lepas, penyanyi rock itu berjaya mendapatkan hak jagaan sementara ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan bersama Rozana, 37.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Rozana yang diwakili peguam Jamal Lokman Mohd Sulaiman memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara itu.

Ketika ditemui media berhubung keputusan itu, Awie berkata beliau menerima keputusan mahkamah dengan terbuka dan akan berbincang dengan peguamnya tindakan seterusnya bagi memastikan kebajikan anak-anaknya terjaga.

“Sekarang anak-anak masih di bawah jagaan saya,” katanya.

Rozana pula berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah.

Awie yang merupakan pelakon filem ‘Zombi Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak – dua lelaki dan seorang perempuan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.