Kepimpinan UMNO Perlu Berani Pertahan Hak Orang Melayu – Muhyiddin

MUAR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan barisan kepimpinan parti agar lebih berani dan lantang dalam memperjuangkan hak keistimewaan dan kedaulatan orang Melayu.

 

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, isu kepimpinan dalam parti harus dititikberatkan bagi menghadapi politik masa kini yang mencabar.

 

“Sebab itu dalam soal ini, kepimpinan, ketegasan, keberanian dan kesanggupan kita untuk tampil ke hadapan tanpa rasa takut, kerana kita berada di pihak yang benar,” kata Muhyiddin dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini malam tadi.

 

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa perjuangan parti berada di pihak yang benar, barisan kepimpinan tidak akan gentar dalam menghadapi cabaran politik masa kini.

 

“Berapa ramaikah pemimpin UMNO yang berani ke depan untuk mempertahankan hak dan kedaulatan orang Melayu, sama ada kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada usaha kita untuk terus berjuang,” katanya.

 

Dalam masa yang sama, Muhyiddin juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap UMNO kini tidak lantang untuk berjuang mempertahankan isu-isu orang Melayu berbanding beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang juga dipimpin orang Melayu.

 

Muhyiddin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyertai kira-kira 500 ahli UMNO meraikan veteran UMNO Bahagian Pagoh yang telah berjasa selama ini.

 

Sebanyak 14 ahli veteran UMNO turut menerima anugerah khas sebagai tanda penghargaan ke atas jasa dan perjuangan mereka dalam parti khususnya Umno Bahagian Pagoh selama ini.

 

Program yang bertemakan ‘Retro 60an’ itu turut diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan nyanyian beberapa artis jemputan.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed, dan ADUN Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.