Kenyataan Ketua Pemuda MIC Melaka Tidak Dipersetujui, Timbul Kekecohan Pada Sidang Media

Kuala Lumpur – Sidang media Majlis Tertinggi dan Pemuda MIC yang bertujuan untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, Datuk Seri G Palanivel, bertukar kecoh selepas kenyataan yang dibuat Ketua Pemuda MIC Melaka, Shahsi Kumar Kannen tidak dipersetujui majoriti kepimpinan pergerakan itu.

 

Pada sidang media itu, Shahsi bersama empat ketua pemuda negeri lain, Selangor, Perak, Johor dan Kedah, itu, menyatakan Pemuda MIC memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada G Palanivel selepas parti berkenaan terjerumus dalam kemelut sejak 5 Disember lepas.

 

Kenyataannya itu bagaimanapun diselar Ketua Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishna, bersama puluhan penyokong lain yang mendakwa sokongan yang dinyatakan Shahsi bersama empat pemimpin lain itu hanya bersifat individu dan tidak mewakili Pemuda MIC.

 

Arvind berkata, kehadiran beliau bukan untuk menidakkan sokongan ke atas Palanivel atau membuat sebarang provokasi untuk menjatuhkan mana-mana individu tetapi hanya untuk mendapatkan pengesahan sokongan yang dibuat Shahsi mewakili peringkat negeri atau kebangsaan.

 

Katanya, pendirian yang diketengahkan Shahsi tidak pernah dibincangkan di peringkat kebangsaan dan pihaknya hanya mendapat jemputan untuk menghadiri sidang media berkenaan.

 

Arvind turut mempersoalkan kewibawaan presiden parti itu yang langsung tidak meluangkan masa untuk bertemu mereka sejak setahun lalu.

 

Keadaan bertambah tegang apabila Shahsi gagal menjawab persoalan berkenaan sebelum satu objek keras dilemparkan ke arah meja sidang media.

 

Suasana bagaimanapun berjaya dikawal untuk membolehkan sidang media berkenaan diteruskan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.