Kedah Peruntuk RM100,000 Bina Rumah Panjang Untuk Mangsa Banjir Di Kelantan

Kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 bagi membina rumah panjang untuk menempatkan mangsa banjir di Kampung Karangan, Kuala Krai, Kelantan.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah diarahkan untuk mengetuai pembinaan rumah panjang untuk penempatan 53 keluarga itu dalam masa terdekat ini.

 

Beliau berkata, pembinaan rumah tersebut juga akan melibatkan bantuan tenaga kerja sukarelawan bersama masyarakat di sana untuk membinanya secara gotong-royong.

 

“Sewaktu melawat mangsa banjir di sana, kita terpanggil untuk membina rumah panjang sementara berhadapan Masjid Kampung Karangan, kebenaran daripada pemilik tanah juga sudah diperoleh untuk pembinaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

 

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan namanya untuk mengumpan pembeli dalam penjualan hartanah projek perumahan di bawah program Malaysia Rumah Keduaku baru-baru ini.

 

“Saya mendapat maklumat seorang warga China menggunakan nama saya sebagai Menteri Besar untuk menjual rumah di bawah program ini kepada warga asing dan apa yang dilakukan mereka ini adalah satu penipuan.

 

“Saya tidak langsung mempunyai kaitan dengan mana-mana penjualan rumah terbabit dan berharap mana-mana pembeli dan pelabur tidak tertipu dengan tawaran berkenaan,” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.