Kabinet Setuju Bina Rumah RM48,000 Untuk Mangsa Banjir – TPM

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kabinet bersetuju membina rumah kekal berharga RM48,000 setiap unit khusus untuk mangsa terjejas banjir yang musnah rumah secara keseluruhan.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) diberi tugas untuk menyelaras kontraktor tempatan bagi melaksana projek pemulihan berkenaan.

 

“Kalau boleh rumah yang dibina itu nanti sekurang-kurangnya mesti tinggi lapan kaki atau dibina di kawasan lebih tinggi bagi elak ditenggelami banjir pada masa depan.

 

“Kabinet setuju segerakan peruntukan dan minta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyediakan pelan (pembinaan) segera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menanggung kos kerosakan kediaman dengan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap penempatan yang mengalami kerosakan sebahagian atau tidak sepenuhnya.

 

Katanya, ia membabitkan mangsa di semua negeri terjejas banjir termasuk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

 

“Untuk tujuan kerja itu, ia akan diselaraskan melalui CIDB, sementara pembinaannya boleh dibuat menerusi aktiviti gotong royong membabitkan penduduk serta jawatankuasa kampung,” katanya.

 

Bagi peniaga kecil yang terjejas pula, Muhyiddin berkata, Kabinet sudah bersetuju supaya Kementerian Kewangan dan Bank Negara termasuk agensi yang berkaitan seperti TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan dana tertentu bagi membantu peniaga kecil yang terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.