Jangan Tangguhkan GST, Gesa Dewan Perniagaan Labuan

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak wajar ditangguhkan walaupun pembangkang dan pengelak cukai memberikan pandangan negatif ke atas regim percukaian baharu itu, kata dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Labuan.

 

GST sudah dilaksanakan di kebanyakan negara, dan terbukti memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat, kata dewan berkenaan.

 

“Mengapa perlu ditangguhkan sedangkan pelaksanaannya sudah dikaji secara menyeluruh, kerajaan tidak akan membebankan rakyat atau sebaliknya dihukum rakyat pada pilihan raya umum,” kata Presidennya Datuk Yussof Mohammad kepada Bernama hari ini.

 

Beliau berkata GST merupakan sistem percukaian yang telus dan cekap yang memberi manfaat kepada ekonomi negara dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Presiden Majlis Tindakan Pengguna Labuan Fauziah Mohd Dun turut memberikan pandangan yang sama dengan berkata regim percukaian yang progresif itu akan membantu pengguna dan kerajaan.

 

“Pelaksanaannya akan ditentang pengelak cukai dan pembangkang untuk kepentingan politik mereka,” katanya dan menambah kerajaan sudah membelanjakan kos yang tinggi untuk menjalankan kempen kesedaran awam, termasuk di luar bandar.

 

“Laksanakan seperti dirancang. Sudah pasti ada masalah kecil pada peringkat awal, namun lambat-laun, ia akan diterima,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.