Halang Pelajar Pakai Baju Kurung Masuk Kelas, Pihak Sekolah Mohon Maaf

Kuala Lumpur – Dua orang pegawai pendidikan daerah dilaporkan telah membuat lawatan mengejut ke sekolah yang terlibat bagi melakukan siasatan berhubung isu pelajar bukan Islam dihalang memasuki kelas kerana memakai baju kurung.

 

Ia ekoran dari luahan hati bapa pelajar terbabit, Lawrence Jayaraj di Facebook semalam yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mutiara di Cheras.

 

Beliau ketika dihubungi mengesahkan, pengetua dan ketua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut telah membuat permohonan maaf kepadanya berhubung insiden terbabit.

 

“Anak perempuan saya, Britney, akan memakai baju kurung esok dan akan pergi ke sekolah,” katanya.

 

Lawrence berkata, anaknya yang baru bertukar daripada sekolah lain itu dihalang daripada memasuki kelas kerana memakai baju kurung.

 

Menurutnya, pihak sekolah terbabit menyatakan bahawa hanya pelajar Melayu sahaja dibenarkan memakai baju kurung manakala bagi bukan Melayu tidak dibenarkan.

 

Menurut sumber ketika kejadian pengetua sekolah tersebut sedang bercuti sakit kerana masalah tekanan darah tinggi.

 

Sementara itu menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mutiara, Mohd Amir Abdul Ghani, pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar perempuan bukan Melayu untuk memakai baju kurung, cuma menekankan supaya memakai baju kurung dengan cara yang betul.

 

Menurutnya masalah komunikasi dan tersalah tafsir maklumat oleh pelajar dan ibu bapa itu menjadi punca tercetusnya isu pemakaian baju kurung oleh pelajar bukan Melayu.

 

“Kalau hendak pakai baju kurung, pelajar mestilah memakai dengan betul iaitu memakai kesemua butang baju tersebut. Apabila kata begini, mereka anggap kita (sekolah) tidak benarkan pakai baju kurung.

 

“Sekolah tidak pernah menghalang sesiapa pakai baju kurung kerana ia adalah baju kebangsaan. Malah guru-guru bukan Melayu pun boleh pakai baju kurung,” katanya.

Mohd Amir berkata permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri.

 

Katanya, satu perbincangan antara pengetua, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penjaga kepada murid berkenaan (pengadu) turut diadakan pada hari ini bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

 

Beliau menegaskan pelajar perempuan yang terlibat akan kembali ke sekolah dan bebas memakai baju kurung.

 

Mohd Amir berkata beliau tidak berada di sekolah pada hari kejadian dan mendakwa masalah komunikasi itu adalah antara guru dan pelajar.

 

Pengetua itu percaya jika beliau berada di sekolah pada hari tersebut mungkin perkara itu tidak timbul dan menjadi isu hangat di media sosial.

 

Sementara itu, memetik laporan sebuah portal, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan menjelaskan akan ‘turun’ sendiri ke sekolah berkenaan seandainya laporan mengenai isu itu tidak dapat diselesaikan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

One thought on “Halang Pelajar Pakai Baju Kurung Masuk Kelas, Pihak Sekolah Mohon Maaf

  • January 16, 2015 at 12:42 am
    Permalink

    All they are asking is to teach children some decency. That’s all. An ability it seem some parents are lacking in.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.