Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, larangan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kementerian mewujudkan sebuah undang-undang kecil di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada tahun ini bagi membanteras habis-habisan kegiatan penipuan menggunakan modus operandi tersebut.

 

Menurut beliau, pada masa ini, sindiket peraduan gores dan menang dikesan terus berleluasa di­sebabkan tiada undang-undang khusus yang membolehkan tangkapan terus dibuat, sebaliknya, langkah penguatkuasaan perlu menggunakan akta berbeza atau berkaitan menyebabkan tindakan pendakwaan sukar dan lambat diambil.

Sehubungan itu, tegas beliau, di bawah undang-undang kecil baharu itu kelak, mana-mana pihak yang masih mahu menjalankan peraduan gores dan menang itu perlu meminta kebenaran daripada kementerian terlebih dahulu.

“Sebelum ini, langkah penguatkuasaan sindiket gores dan menang hanya boleh didakwa di bawah Akta Jualan Langsung 1993 iaitu kita anggap mereka menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen. Selain itu. kita turut menggunakan Akta Perlindungan Pengguna 1999 di bawah kes penipuan, namun ini sukar dilaksanakan sebab kena ada pembuktian lengkap bagaimana kes penipuan itu berlaku.

“Oleh itu, kita rasakan perlu untuk mewujudkan undang-undang kecil ini dengan menghapuskan terus semua kegiatan gores dan menang, jadi mudah bagi kita untuk membuat penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhid­matan Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.

Laporan khas Utusan Malaysia semalam membongkar sindiket gores dan menang yang semakin berleluasa biarpun sudah beribu laporan polis dibuat dan ratusan laporan dikemukakan kepada pihak kementerian, namun sindiket yang berselindung di sebalik syarikat-syarikat tidak pernah serik menjalankan kegiatan haram mereka.

Berikutan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek memberi jaminan, sindiket berkenaan tidak akan lagi dibiarkan terus bermaharajalela di negara ini menjalankan kegiatan penipuan mereka sehingga boleh mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, pada masa ini pihak kementerian sedang mengenal pasti beberapa syarikat yang dikesan ‘melindungi’ sindiket gores dan menang itu dengan mendapatkan kerjasama pihak polis, persatuan-persatuan pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, ini termasuk bergan­ding bahu dengan semua pasar raya besar untuk memastikan ‘ulat’ itu tidak dibenarkan menjalankan ke­giatan di premis mereka memandangkan sasaran utama kumpulan itu adalah di lokasi tumpuan orang ramai.

“Saya juga ingin menafikan sebarang dakwaan terhadap pasukan penguat kuasa yang dikatakan ‘melindungi’ sindiket itu termasuk tuduhan menerima rasuah dan sebagainya kerana pihak kami menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu komited demi kepentingan pengguna.

“Pengguna juga diminta tidak mudah terpedaya jika didatangi mana-mana pihak yang menawarkan hadiah tidak munasabah, jangan buka ruang atau beri peluang kepada mereka untuk mereka mudah menjerat kita,” katanya.