Doakan Kami!

PELAKON dan pelawak, Zizan Razak enggan lagi berbicara soal cinta sebaliknya kini hanya mahu berfokus kepada soal kerjayanya.

 

Biarpun mengesahkan hubungan cintanya dengan aktres jelita, Emma Maembong sudah kembali bertaut, teraju utama filem Mael Lambong itu bagaimanapun lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.

 

“Soal itu sudah tamat. Kini, tumpuan utama saya hanyalah soal kerja.

 

“Segalanya sudah selesai dan kami pun sudah kembali bersama dan saya rasa ia tidak perlu diperbesarkan lagi.

 

“Saya harapkan yang terbaik dan minta semua peminat mendoakan kami,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran program Projek Ceria di Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kelmarin.

 

Pada masa sama, Zizan juga kini sedang bergelut dengan isu saman dengan bekas pengurus yang membabitkan tuntutan melebihi RM500,000.

 

Ketika ditanya, adakah dia tidak tertekan dengan semua perkara yang terjadi pada satu-satu masa ini, pelakon filem Hantu Kapcai ini menjawab:

 

“Pada saya, ini semua rezeki dan apa yang terjadi, ia adalah dugaan buat saya.

 

“Setiap masalah yang dilalui itu, perlulah diselesaikan dan saya sendiri perlu bijak menguruskannya.

 

“Lagipun, tidak adil meletakkan tekanan itu pada kerja,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Zizan kini terlibat dalam program majalah berbentuk kemasyarakatan, Projek Ceria yang diilhamkan untuk merealisasikan impian kanak-kanak dan remaja yang ingin bertemu dengan selebriti kesayangan mereka.

 

Selain Zizan, artis lain yang turut terlibat ialah Datuk Aznil Nawawi, Hafiz Suip, Lisa Surihani dan Shahrol (Shiro).

 

Bintang filem KL Zombi ini bakal membuat kejutan dengan hadir ke rumah dua kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.

 

“Biarpun mereka sakit, tapi saya sangat berbesar hati kerana dapat membuat mereka tersenyum.

 

“Sekurang-kurangnya, rasa gembira itu dapat mengurangkan dan menjadi penawar kepada penyakit mereka,” katanya.

 

Kata Zizan, biarpun bukan melalui program ini, dia juga sering melawat kanak-kanak ini di hospital.

 

“Saya pernah ditahan kerana disyaki melakukan penggambaran tanpa kebenaran pihak hospital padahal tujuan utama saya hanyalah untuk melawat mereka,” katanya.

 

Projek Ceria bakal disiarkan setiap Jumaat, jam 7 malam mulai 30 Januari ini menerusi saluran Astro Ceria (611). – SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.