Dendam Dari Myanmar, Bunuh Di Malaysia

Oleh: Mayang Sari

Satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Bukit Mertajam, empat hari kemudian mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat ke dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap. Beberapa hari kemudian pula, kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok.

 

Kejadian-kejadian tersebut berlaku di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dalam tempoh kira-kira seminggu.

 

Kesemua itu adalah beberapa kes bunuh daripada yang banyak lagi berlaku di daerah Seberang Perai Tengah Pulau Pinang. Dan, kesemuanya melibatkan warga asing.

 

Antara berita lain menjelang akhir tahun lalu termasuk, dua mayat lelaki ditemui di lokasi berasingan dengan kesan kelar di leher dan tikaman di badan dalam tempoh sehari, lelaki maut ditetak beramai-ramai, lelaki bergari yang ditetak 12 kali dan banyak lagi.

 

Memang mengerikan

 

Sedarkah anda bahawa akhir-akhir ini terlalu kerap berita kes bunuh mengisi dada-dada akhbar kita? Tidak keterlaluan jika saya katakan, hampir setiap hari ada saja kes pembunuhan, terutamanya di Pulau Pinang, tidak kurang juga berlaku di Kuala Lumpur. Dan, boleh dikatakan kesemuanya melibatkan warga asing.

 

Apakah negara ini sudah tidak selamat? Memang tidak adil untuk dikatakan negara kita tidak selamat, memandangkan kita mempunyai pasukan keselamatan yang bertugas. Namun, penting bagi kita untuk lebih berhati-hati sepanjang masa, tidak boleh ambil mudah atau ‘take things for granted” berhubung kejadian-kejadian tersebut.

 

Sama ada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau di mana-mana saja, terutamanya bandar-bandar besar, memang banyak kelihatan warga asing di setiap sudut perjalanan.

 

Biarlah kita lihat saja Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan ke dua-dua tempat ini merupakan lombong emas untuk mencari rezeki.

 

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa tahap kejadian jenayah terutamanya yang melibatkan warga asing memang sukar dibendung lagi di Pulau Pinang. Buktinya, pada penghujung tahun lalu Polis Pulau Pinang meminta bantuan Bukit Aman dengan menyerahkan laporan lengkap mengenai kes pembunuhan melibatkan warga Myanmar di negeri tersebut yang berada pada tahap membimbangkan.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah beberapa bulan lalu dilaporkan berkata, sepanjang lapan bulan pertama tahun lalu, kes pembunuhan membabitkan rakyat Myanmar menunjukkan peningkatan ketara dengan kebanyakannya berpunca daripada pergaduhan sesama sendiri yang berakhir dengan pembunuhan kejam.

 

Sehingga September, sebanyak 24 kes bunuh membabitkan rakyat Myanmar berlaku di Pulau Pinang dengan majoritinya di Daerah Seberang Perai Tengah (SPS).

 

Malah terdapat laporan mengatakan sehingga hujung tahun lalu, terdapat kira-kira 50 kes bunuh berlaku di Pulau Pinang, 31 daripadanya melibatkan warga asing dan majoritinya warganegara Myanmar.

 

Dianggarkan terdapat lebih 20,000 pekerja asing warganegara Myanmar bekerja di daerah tersebut dengan sebahagian besar di Kawasan Perindustrian Perai, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Kawasan Perindustrian Bukit Tengah, selain ada yang turut terlibat dalam sektor perladangan dan pembinaan.

 

Berikutan pelbagai kejadian bunuh tersebut, polis telah membuat beberapa tangkapan dan menahan berpuluh warganegara Myanmar. Polis percaya pembunuhan membabitkan warganegara Myanmar itu bermotifkan dendam yang berpunca daripada kejadian yang berlaku di negara asal mereka.

 

Walaupun penahanan suspek tersebut diharapkan dapat membendung kegiatan pembunuhan di negeri itu, namun kes-kes bunuh terus berlaku.

 

Manakala di Kuala Lumpur pula, dilaporkan perangkaan polis menunjukkan sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu sebanyak 25 kes berlaku melibatkan jenayah rompakan, bunuh, cedera parah, merusuh dan kecurian.

 

Keadaan itu memaksa polis termasuk jabatan penguatkuasaan lain melakukan operasi terutamanya di kawasan Pasar Borong Selayang, hampir setiap bulan namun bilangan warga asing masih tidak berkurangan.

 

Semalam, sembilan lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Bukit Mertajam serta di Butterworth atas tuduhan berhimpun sehingga menyebabkan kematian enam rakan senegara mereka tahun lalu. Selain mereka, dipercayai terdapat beberapa rakan subahat yang masih bebas dan berkemungkinan sudah meninggalkan Pulau Pinang.

 

Memang kejam dan mengerikan. Selain harus berwaspada setiap masa di mana saja kita berada, kita perlu ingat, mungkin itu dendam antara mereka, namun bagaimana sekiranya kita ternampak atau berada berdekatan ketika kejadian? Bukankah kita akan dicarinya?

 

Kejadian-kejadian tersebut pastinya membuatkan pihak polis, hospital, kakitangan penguatkuasaan pelbagai jabatan dan pihak-pihak berkuasa lain yang berkaitan bertambah sibuk.

 

Tidak mustahil jika mereka terpaksa lebih sibuk menguruskan warganegara asing daripada rakyat negara ini. Jika bukan mereka, siapakah yang akan menguruskan mayat-mayat tersebut? Pada masa sama, kes perlu disiasat, pembunuh-pembunuh tidak boleh dibiar bebas. Ketenteraman dan keselamatan rakyat serta negara perlu dijaga.

 

Tidak adakah cara membendung kedatangan mereka? Cukupkah kakitangan pihak berkuasa untuk menguruskan pelbagai karenah dan masalah rakyat Malaysia, kini ditambah pula dengan masalah-masalah yang berpunca daripada mereka ini? Adakah dan apakah jalan penyelesaian terbaik? – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.