Isu GiatMara: Keputusan Dikaji Jika Patuh Syarat

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan mengkaji balik keputusan untuk menutup Pusat GiatMara Selayang sekiranya pihak pengurusan pusat latihan kemahiran itu mematuhi syarat memperbaiki kemudahan serta operasi sedia ada, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu adalah selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang mahu pusat GiatMara itu yang didirikan di atas tanah lapang kerajaan negeri menyediakan latihan berkualiti kepada masyarakat setempat.

“Kalau GiatMara Selayang perbaiki operasinya dan menggunakan tanah kerajaan negeri dengan baik, mereka boleh teruskan. Kalau tidak boleh, mereka boleh beralih ke tempat lain supaya kerajaan negeri dapat memperbaikinya semula.

“Ini kerana ada banyak syarikat swasta inginkan lokasi GiatMara tersebut untuk dijadikan pusat latihan memperbaiki peralatan berkaitan industri penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dikatakan telah menghantar surat kepada pengurus Pusat Giatmara Selayang pada 2 Disember tahun lepas menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan memberikan tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 kepada pusat itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan.

Ia ekoran tanah seluas 11,396 kaki persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lepas tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata, secara dasarnya tanah kerajaan negeri itu sepatutnya dibina dewan orang ramai tetapi pada akhirnya bertukar menjadi pusat latihan kemahiran GiatMara.

“Sebab itu pentadbir tanah (Pegawai Daerah Gombak) diminta untuk melihat bangunan (GiatMara) tersebut. Jika didapati tidak selaras dengan kehendak kerajaan negeri, kita minta pihak pengurusan pusat itu mengosongkan tapak berkenaan, tetapi notis kita beri satu tahun (untuk mengosongkan tapak).

Abdul Khalid berkata, arahan untuk menutup pusat GiatMara Selayang dibuat selepas pihaknya mewujudkan pasukan petugas khas untuk memantau serta membuat laporan mengenai tanah-tanah milikan kerajaan negeri di seluruh Selangor.

Beliau memberikan alasan bahawa proses itu perlu dibuat memandangkan dalam tempoh tiga atau empat tahun kerajaan negeri perlu menyediakan maklumat akaun yang disatukan mengenai bentuk penerimaan dan bayaran daripada harta-harta yang dimiliki kerajaan negeri mengikut sistem perakaunan negara.

Sementara itu, Pengerusi Pelaburan Mara Berhad Datuk Sohaimi Shahadan mahukan kerajaan negeri menunaikan janji tersebut dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga.

Lantaran itu, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak khas dianggotai penduduk sekitar, badan politik dan orang ramai untuk memantau perkembangan isu tersebut dari semasa ke semasa.

“Dalam surat Pejabat Tanah dan Daerah Gombak telah nyatakan notis untuk tutup dan bukan penambahbaikan itu. Maka apabila pengumuman baharu ini, kita lihat di sini seolah-olah ada yang tidak kena.

“Macam beliau mendapat maklumat yang salah atau ada pihak cuba menangguk di air keruh dalam isu ini. Tanah ini sekangkang kera, tidak sesuai untuk projek aviation (penerbangan).

“Kita akan pertahankan dari segenap sudut dan ambil tindakan selanjutnya kerana apabila ia ditutup, akan merugikan semua pihak khasnya anak Melayu yang keciciran dalam akademik,” katanya.

Senada dengannya, pengerusi jawatankuasa tersebut, Dr Sabri Mustaffa Afifi yang kesal selepas 21 tahun GiatMara Selayang beroperasi dan bertapak, tiba-tiba kerajaan negeri ingin menutupnya.

Menurutnya tanah itu tidak sesuai untuk projek yang dirancang kerajaan negeri memandangkan ia lokasi keramaian penduduk berbilang bangsa dan kaum selama ini.
– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.