Tulis Warkah Kepada KJ, Rafizi Tak Kisah Dimaki

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melayangkan surat terbuka buat sahabatnya, Khairy Jamaluddin sebagai ‘perangsang semangat’ susulan UMNO kini sedang berdepan cabaran getir susulan tindakan sebahagian wakil rakyatnya keluar parti.

Menulis warkah bertajuk ‘Surat Kepada Khairy’, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata tujuannya adalah untuk meyakinkan sahabatnya itu untuk kekal berada di dalam UMNO, kerana percaya rakyat dan negara memerlukan barisan pembangkang yang berkesan.

“Tidak ada pemimpin yang sayangkan partinya dan perjuangan yang diangkat oleh partinya, yang tidak terkesan apabila wakil rakyat (yang menang atas tiket partinya) keluar parti. 

“Bukan atas alasan prinsip atau berbeza pandangan mengenai dasar yang pokok, tetapi kerana menjadi pembangkang (setelah sekian lama menjadi kerajaan) tidak semudah semasa menjadi kerajaan dahulu,”kata Rafizi dalam surat yang disiarkan di blog beliau.

Surat tersebut ditujukan kepada Khairy selepas UMNO ‘kehilangan’ enam wakil rakyatnya secara rentak hari ini. 

Enam Ahli Parlimen tersebut adalah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah). 

Rabu lalu, 14 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian UMNO di Sabah meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Dalam pada itu Rafizi berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan sebarang tindakan untuk meranapkan mana-mana parti pembangkang. 

“Saya mungkin tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan tindakan atau pendapat parti-parti pembangkang, tetapi saya menghargai peri pentingnya parti pembangkang yang berkesan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

“Beberapa hari, minggu dan bulan yang mendatang mungkin mendung buat Saudara dan sahabat-sahabat yang ikhlas ingin membantu rakyat atas platform UMNO.

“Tetapi percayalah, jika Saudara berpegang kepada niat untuk berkhidmat dan membela rakyat, pemergian mereka yang meninggalkan UMNO ini akan menguatkan UMNO.

“Dengan syarat pimpinan-pimpinan UMNO yang kekal mesti takut kepada Allah, menolak rasuah, menyeru ke arah persaudaraan rakyat pelbagai kaum yang membina, berjiwa progresif yang menggalakkan (bukan menidakkan), berkata benar dan benar-benar menjiwai rakyat,” katanya.

Rafizi juga berkata Khairy perlu kekal di dalam UMNO kerana bekas Ketua Pemuda parti Melayu itu menjadi harapan ramai orang muda yang mahu melihat politik Malaysia yang lebih baik dan mendamaikan di masa hadapan.

“Untuk itu, Saudara perlu kekal di dalam UMNO dan terus bersuara agar UMNO menjadi parti pembangkang yang berkesan.

“Saya akan dimaki kawan dan lawan kerana berpandangan begini. Tetapi itu peranan orang yang berjiwa bebas seperti kita, supaya ada orang yang terus bersuara walaupun pahit.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Saudara,” akhirinya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close