PAS Sambut Baik Silaturahim, Sedia Bantu Kerajaan Demi Islam

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik tali silaturahim yang dihulurkan UMNO dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam soal menegakkan ajaran Islam sebenar di negara ini dan menentang pihak-pihak yang merosakkannya.

 

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama tersebut bakal membuka lembaran baharu politik negara apabila kerajaan bersedia menerima pandangan daripada parti pembangkang demi kebaikan umat Islam keseluruhannya.

 

Beliau menegaskan, kerjasama itu tidak akan mewujudkan blok politik baharu kerana Pas akan kekal sebagai pembangkang, namun bersedia menjadi pengkritik atau pencadang kepada sistem pemerintahan kerajaan agar kelemahan yang ada dapat diperbaiki.

 

“Kita menerima apa yang disebut oleh Perdana Menteri kerana selama ini kita berada dalam padang politik yang tidak adil apabila cadangan pembangkang ditolak mentah-mentah kerana kerajaan merasakan sudah cukup untuk mereka sahaja yang memerintah.

 

“Kita menyambut baik, cuma kerjasama yang dituntut Pas adalah memastikan nilai-nilai agama menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia, jadi kita akan menyokong kerajaan untuk melaksanakan apa sahaja program agama demi kepentingan bersama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini semalam.

 

Dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak Pas untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam yang sebenar.

 

Nik Mohamad Abduh berkata, antara perkara yang Pas telah lama bersetuju dengan UMNO adalah menentang gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula menular di negara ini sejak beberapa tahun lalu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.