Model Baharu Biasiswa JPA Bakal Digubal – Najib

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menggubal model baharu dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bagi mencegah penerima biasiswa daripada mengelak untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

 

Ujar Najib, model sedia ada tidak menguntungkan kerajaan berikutan masih wujud ruang untuk penerima biasiswa tidak meneruskan khidmat mereka dengan kerajaan.

 

“Apa yang berlaku, mereka yang tidak mahu bekerja dengan kerajaan, dia dengan sengaja mengagalkan dirinya dalam sesi ‘temubual’ jadi mereka mengelak daripada meneruskan khidmat dalam kerajaan.

 

“Dengan kaedah atau model seperti ini, (ia) tidak menguntungkan kerajaan. Kita biayai ratusan ribu bagi seorang pelajar, akhirnya negara tidak mendapat khidmat dia,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir Dan Diplomatik (PPTD) di Putrajaya, Ahad malam.

 

Dalam ucapannya, Najib yang menyifatkan pegawai PTD sebagai pemikir, perancang dan pelaksana dalam perkhidmatan awam, perlu memikirkan sesuatu untuk mengolah semula strategi pembangunan negara dalam persekitaran global yang tidak menentu.

 

“Antara cabaran yang dihadapi, termasuk ekonomi yang berkembang perlahan, harga komoditi yang rendah, ekspektasi rakyat dalam menghadapi kos sara hidup dan ancaman militan IS dan di Filipina Selatan,” katanya.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.