Malaysia Promosi Industri Halal Langkaui Aspek Komersial

KUALA LUMPUR – “Ketegangan agama yang semakin meningkat di antara dunia Islam dan barat terutamanya telah menjadi pendorong kepada kerajaan untuk menubuhkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM),” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau berkata, GMM ini telah berjaya menarik perhatian dunia, bukan sahaja daripada kerajaan negara-negara lain tetapi daripada kumpulan masyarakat yang sangat bimbangkan keadaan semasa hubungan di antara dunia Islam dan Barat.

 

Katanya, Malaysia mempromosikan industri halal melangkaui aspek komersial biarpun industri berkenaan merupakan sektor yang paling berkembang pesat di dalam ekonomi dunia.

 

Menurutnya, Malaysia juga melihat industri halal di dalam sesebuah ekonomi sebagai sebuah komponen penting seperti mana yang sering dituntut di dalam ajaran Islam.

 

“Dengan itu, Malaysia melihat promosi ekonomi halal global sebagai salah satu komponen penting GMM. Perolehan komersial, peluang pekerjaan dan hubungan sesama ummah menerusi penyertaan di dalam industri halal ini akan menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara-negara Islam yang lain,” katanya semasa merasmikan Persidangan Halal Standard dan Metrologi Instititu bagi negara-negara Islam di sini hari ini.

 

Ahmad Zahid berkata, promosi industri halal bukan sahaja bagi sesebuah negara sahaja tetapi ia perlu menjadi usaha bagi setiap negara.

 

Usaha tersebut jelasnya, bakal melibatkan program-program pembangunan kapasiti serta rangkaian bekalan global yang efisyen dan sistematik bagi mengangkat industri halal daripada sebuah pasaran khusus kepada pasaran perdana dalam ekonomi global.

 

Katanya, peluang perniagaan di dalam industri halal tidak harus terhenti kepada sektor makanan dan bukan makanan sahaja tetapi turut merangkumi bidang kewangan dan perbankan, insurans, pendidikan dan latihan, pendidikan, pensijilan, perundingan, logistik, penjagaan kesihatan serta pengembaraan dan pelancongan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.