Gesaan Buka Ruang Dialog TPPA

KUALA LUMPUR – Yayasan Murni Aqidah (YMA) menggesa kerajaan supaya membuka ruang dan peluang berdialog dengan semua lapisan masyarakat dijalankan secara berterusan bagi Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

 

Pengerusinya, Datuk Aidit Ghazali berkata, secara zahirnya dokumen tersebut tidak menampakkan sebarang perkara yang menggugat kepentingan agama Islam, kepentingan umat Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan negara.

 

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya  meminta semua pihak supaya memantau perlaksanaan TPPA ini dengan teliti tanpa kompromi terhadap kepentingan agama Islam, kepentingan Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan negara.

 

“Sekiranya ada apa-apa petanda di masa hadapan yang menunjukkan bahawa kepentingan-kepentingan ini digugat, maka tindakan rektifikasi hendaklah diambil dengan segera.

 

“Realiti dan sejarah permainan politik global telah berkali-kali membuktikan bahawa, sekiranya pihak kerajaan tidak tegas dalam memelihara kepentingan agama Islam, kepentingan umat Melayu dan bumiputera serta kedaulatan negara, maka pihak-pihak yang berkepentingan sama ada dari dalam mahupun luar negara boleh melakukan tindakan-tindakan yang merugikan agama Islam, kepentingan
umat Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan negara,”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pagi tadi.

 

Menurutnya lagi, pihaknya berpegang pada janji dan kata-kata Perdana Menteri Malaysia serta pemimpin-pemimpin negara untuk terus melindungi kepentingan-kepentingan Islam, umat Melayu, Bumiputera dan kedaulatan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.