G25 Keliru Dengan SOP Tangkapan Khalwat – Jamil Khir

KUALA LUMPUR – Kumpulan G25 terkeliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh pihak berkuasa agama dalam melaksanakan serbuan khalwat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, memetik laporan Berita Harian hari ini.

 

“Saya percaya bahawa G25 sebenarnya keliru dan kurang faham dengan terma pendekatan Wasatiyyah, objektif Syariah dan SOP yang digunakan oleh pihak berkuasa agama sebelum menjalankan serbuan ke atas pasangan yang belum berkahwin.

 

“Pihak berkuasa bukan dengan sewenangnya menyerbu kediaman seseorang pada jam 3 atau 4 pagi. Sekiranya pengadu adalah isteri, suami atau jiran, pihak berkuasa terpaksa menyerbu kediaman. Mungkin terdapat ahli G25 yang keliru dengan SOP dan pelaksanaannya,” kata Jamil.

 

Menurut beliau, adalah lebih baik mendidik kumpulan ini daripada meminta Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa terhadap kumpulan ini dan melabel mereka sesat.

 

“Tidak perlu untuk meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa dan melabelkan G25 sebagai sesat.

 

“Sekiranya bantahan terhadap kumpulan ini hanya membabitkan beberapa isu seperti serbuan khalwat, kita didik dan beri maklumat kepada mereka,” tambahnya.

 

Dalam perkembangan sama, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Abdullah Mad Zain dipetik sebagai berkata, pemahaman G25 adalah cenderung kepada liberalisme.

 

“G25 cenderung kepada ideologi liberalisme dan ekstrem yang tidak selari dengan Islam.

 

“Saya percaya bahawa mereka terpengaruh dengan liberalisme dan pluralisme kerana ada di antara pelopor gerakan ini pernah berkhidmat sebagai duta di Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Abdullah.

 

Terdahulu, kenyataan G25 terhadap undang-undang khalwat menimbulkan banyak ketidakpuasan hati antara beberapa mufti di negara ini. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.