Zam Gelar 25 Melayu Ternama, Bodoh Dan Angkuh

Kuala Lumpur – Sekumpulan 25 orang Melayu ternama yang baru-baru ini menjadi tajuk utama berita, apabila surat terbuka mereka kepada Perdana Menteri disiarkan dalam akhbar berbahasa inggeris, adalah individu yang sombong dan angkuh.

Bekas Menteri Penerangan dan ahli politik veteran, Zainuddin Maidin dalam blognya Zamkata menulis, kumpulan 25 Melayu yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan itu, bertindak tidak masuk akal dengan menjadikan badan bukan kerajaan (NGO), seperti PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) dan ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) sebagai musuh mereka.

“Mereka perlu berhati-hati untuk memastikan tidak menjadi alat akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang mempunyai agenda tersembunyi yang selama ini berjaya meningkatkan persepsi buruk terhadap NGO Melayu memperjuangkan Islam dan nasionalisme rakyat Malaysia, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Seorang daripada mereka (25 Melayu ternama) mengecam anggota PERKASA dan ISMA dan mendakwa mereka ini tidak berpelajaran serta tidak mempunyai kelayakan setara berbanding mereka.

“Inikah sifat bijak dan kewarasan Melayu ternama, bekas pesara kerajaan yang hendak menampilkan diri berada dalam golongan moderate dan global? Sombong dan bongkak,” tulisnya.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu menambah, pesara kerajaan yang pernah melalui proses pembentukan masyarakat Malaysia dengan Tun Abdul Razak, Tun Ismail dan Tun Mahathir tentu lebih memahami kedudukan ini, kecuali mereka yang terlalu lama berpisah dari negara ini.

“Diharapkan Melayu ternama ini menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk mempelajari dan mengimbangi pemikiran mereka, sebelum berdialog dengan bukan Islam,” tulisnya lagi.

Tambahnya, masalah yang dihadapi negara ini adalah sangat sensitif dan perlu diimbangi dengan pemikiran serta kehendak majoriti yang menyokong kerajaan.

Zainuddin turut mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana tidak dapat membaca agenda tersembunyi atau tersirat mengenai kesederhanaan yang dilaungkan akhbar berkenaan.

“Jamil Khir tentunya tidak nampak hipokrasi di sebalik kempen moderation ini, kecuali jika beliau meneliti sebahagian besar berita dan rencana sosial serta politik yang tersiar di akhbar ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.