VIDEO: DBKL Sedia Gempur ‘Occupy UM’ Kali Kedua

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi tiba di tapak pelajar “Occupy UM” sedang berkhemah, di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya (UM), bersedia bila-bila masa menggempur kumpulan terbabit yang didakwa mengganggu premis awam.

Setakat 7 petang ini, sebuah van dan satu pacuan empat roda serta tujuh anggota penguatkuasa DBKL sudah berada di sana, memantau dan menanti arahan pihak atasan untuk tindakan selanjutnya.

Tindakan itu menurut pegawai DBKL, berdasarkan aduan yang diterima semalam, mengatakan berlakunya kekacauan di tempat awam.

“Kami menunggu arahan untuk menurunkan sepanduk dan menyuraikan keadaan. Ini premis awam, kalau melibatkan kawasan universiti kami tak kacau,” kata Pegawai Bahagian Induk Selatan DBKL Yazid Abu Zarin.

Sebelum itu, anak bekas perdana menteri yang juga aktivis, Datin Marina Mahathir serta bekas menteri Datuk Saifuddin Abdullah sempat datang memberikan sokongan terhadap mahasiswa dan peserta “Occupy UM” itu.

Mereka tiba selepas menghadiri satu forum dalam kampus UM bersama pensyarah undang-undang yang didakwa mengikut Akta Hasutan, Profesor Madya Dr Azmi Sharom.

Petang semalam, satu trak DBKL diiringi dua kereta polis datang mengarahkan peserta “Occupy UM” merobohkan tujuh khemah serta beberapa kain rentang mengandungi kata-kata sokongan yang didirikan pelajar sejak Rabu lalu.

Bantahan aman mahasiswa masuk hari ketiga, keadaannya masih sama dengan peserta memegang sepanduk sepanjang laluan pintu pagar utama UM mendapatkan seberapa banyak sokongan orang ramai terhadap kempen mereka.

Tindakan itu juga sebagai tekanan kepada pihak pengurusan universiti yang menghukum tujuh pemimpin pelajar kerana menganjurkan forum melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Oktober lalu.

Lima daripada mereka dikenakan denda RM150 setiap seorang manakala dua orang – bekas pemimpin persatuan mahasiswa Fahmi Zainol dan Presiden Pro-Mahasiswa UM Safwan Shamsuddin menerima hukuman paling berat iaitu digantung dua semester dan denda RM600, serta satu semester penggantungan dan denda RM300.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dilaporkan mahu turut serta berkhemah dengan pelajar terbabit pada Ahad ini bermula jam 11 malam dan menyeru pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyertainya sebagai tanda solidariti terhadap mahasiswa UM.

Manakala ahli Parlimen PR dijadual akan menyerahkan nota bantahan kepada pengurusan UM pada Selasa minggu depan menuntut hukuman itu digugurkan serta-merta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.