Terima Kasih PM

Putrajaya – Adam Akbar Ali, 12, bekas penghidap penyakit Tumor Saraf Tunjang hari ini bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kediaman rasmi pemimpin nombor satu negara itu di sini.

Pada pertemuan berlangsung kira-kira sejam itu, Adam menyampaikan ucapan terima kasih kepada Najib kerana membantunya untuk menjalani pembedahan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat pada 2012.

Adam yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini turut menyampaikan bola rasmi Piala AFF Suzuki kepada Perdana Menteri sebagai cenderahati.

Najib turut makan tengah hari bersama-sama Adam yang ditemani bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin, 45, dan ibu, Siti Rogayah Syed Ismail, 36, serta dua adik perempuannya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk kepada Presiden Pertubuhan Belia Pemikir Muda (Pemikir) yang melancarkan tabung untuk mendapatkan dana bagi rawatan untuk anak saya (Adam),” kata Akbar Ali.

“Alhamdulillah, setakat ini 97 peratus tumor Adam telah berjaya dikeluarkan dan Adam kini dapat hidup lebih sihat dan ceria,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Sementara itu, Presiden Pemikir. Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pertubuhan itu menghargai keprihatinan Perdana Menteri dalam usaha merawat Adam dan juga menyelesaikan masalahnya untuk mendapatkan visa.

“Biasanya tempoh untuk mendapatkan visa akan mengambil masa yang lama, tetapi atas pertolongan Perdana Menteri, kami berjaya mendapatkan visa dalam masa sehari,” katanya.

Katanya, persatuan akan meneruskan usaha untuk membantu pesakit kronik lain yang memerlukan bantuan pada masa depan.

Mohd Rafiq yang juga Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO berkata Adam akan dijadikan sebagai adik angkat biro berkenaan dan akan membantu Adam dalam meneruskan pelajarannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.