Siapa Yang Layak Ganti Gani Patail?

Kuala Lumpur – Menurut kolum Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Oktober 2015 adalah tempoh berakhirnya perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara setelah 12 tahun memegang jawatan itu.

Persoalannya kini, siapakah yang bakal dan layak menggantikan Gani untuk menduduki kerusi panas itu?

Di dalam ruangan analisis mingguannya, Awang berkata siapa pun pengganti Gani, inidvidu itu haruslah seorang yang mempunyai keyakinan tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai peguam negara.

“Awang berharap, sesiapa pun yang diberi kepercayaan, mestilah seorang pakar dalam perundangan, berkeyakinan tinggi, jati diri kental serta berani, lebih-lebih lagi dalam landskap yang semakin mencabar.

“Cuma elakkanlah individu yang asyik teragak-agak dan mahu mengambil jalan selamat kerana besar mudaratnya kepada negara kita. Kita sudah sepatutunya belajar dan ambil iktibar,” kata Awang menerusi ruangannya.

Awang dilihat meletakkan harapan yang tinggi terhadap pengganti Gani untuk lebih berani dan tidak lewat dalam mengambil tindakan khususnya melibatkan penghinaan agama dan kaum.

Gani, sepanjang tempoh perkhidmatannya berdepan dengan banyak ktirikan ekoran kelewatan bertindak di atas dua isu tersebut namun, kecekapan beliau mengatasi masalah ketirisan dan penyelewangan wang negara memang tidak dapat dinafikan, kata Awang.

“Antara sumbangan beliau yang tidak disedari ramai ialah kewujudan pasukan petugas khas dalam soal integriti yang telah banyak menyelamatkan wang negara daripada ketirisan dan penyelewengan.

“Tanpa menafikan jasa beliau, Awang berpendapat 12 tahun adalah tempoh yang lama dan sudah tiba masanya untuk jawatan itu disandang oleh orang lain.

“Awang percaya Gani juga sudah bersedia untuk memberi laluan atas hakikat tiada siapa yang indispensible Lebih-lebih lagi menjadi harapan ramai mahu melihat muka baru bagi jawatan penting itu supaya dinamisme negara ini terserlah,” katanya lagi.

Gani dilantik menjadi peguam negara pada 1 Januari 2002 ketika umurnya 47 tahun bagi menggantikan Dato’ Seri Ainum Mohd Saaid.

Beliau merupakan pendakwa utama dalam kes perbicaraan Liwat Anwar Ibrahim I pada tahun 1998.

Beliau juga merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya pada 1979 dan memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu Sabah pada tahun 1985, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Peguam Kanan Persekutuan di Sabah.

Pada Januari 1994, Abdul Gani berpindah ke Jabatan Peguam Negara di Kuala Lumpur di mana beliau telah dilantik sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan (1994 dan sekali lagi pada tahun 2000), Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa (1995) dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang (1997).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.