Regim Yang Promosikan Birokratik Islam Menghina Komuniti Islam – Piscatori

Kuala Lumpur – Semakin ramai pakar agama Islam terkemuka mengkritik serangan ke atas pluralisme oleh pihak berkuasa agama Malaysia, dan menyifatkan tindakan itu sebagai hanya mengundang bahaya kepada umat Islam keseluruhannya.

Pada masa sama, mereka juga mempersoalkan konsep seperti jabatan kerajaan mengenai hal ehwal agama adalah bukan sebahagian Islam.

Kata mereka, konsep ini sebahagian sistem politik Barat di mana kuasa negeri bercampur aduk dengan gereja Kristian.

Menurut Profesor James Piscatori dari Universiti Durham, United Kingdom, Islam menerima kepelbagaian dalam agama dan perbezaan pendapat dalam kepercayaan itu sendiri bila timbul soal tafsiran Quran.

Piscatori menambah, ulama dan pemerintah Islam klasik – yang menjadi panduan pihak berkuasa agama – tidak pernah membirokratikkan Islam dengan membentuk jabatan kerajaan bagi mengawal tingkah laku orang Islam.

“Persoalannya, siapa yang memberikan hak kepada mereka untuk bercakap bagi pihak Islam?

“Hujah mereka, ini kehendak Islam, dan ini sangat berbahaya,” kata Piscatori dalam forum mengenai politik Islam semalam.

“Regim yang membuat promosi terhadap pembirokratikan Islam sebenarnya menghina komuniti Islam secara keseluruhannya,” kata Piscatori, seorang pakar politik Islam.

Komen Piscatori dibuat selepas seorang lagi sarjana Islam, Profesor Ebrahim Moosa (gambar, kiri), mengkritik trend terkini oleh pihak berkuasa agama menyerang pluralisme dan liberalisme.

Pada 26 November, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata kedua-dua ideologi itu adalah ancaman terkini kepada Islam dan umatnya.

Komen itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang berkata penghinaan terhadap Islam berpunca dari pandangan yang melihat Islam dari kaca mata liberal dan plural.

Pada 2006, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan fahaman liberalisme sebagai sesat kerana ia beranggapan semua agama adalah sama.

Menjawab mengenainya, Ebrahim berhujah bahawa Perlembagaan Malaysia menerima pluralisme dan sebahagian liberalisme apabila melindungi hak dan kepentingan semua agama dan komuniti.

“Jika anda mahu lari dari liberalisme, anda perlu koyak semua Perlembagaan Malaysia itu dan mula membina semula asas masayarakat ini semula,” kata Ebrahim dalam satu forum di Pulau Pinang pada 9 Disember.

Pada forum semalam, Piscatori berhujah hampir mustahil di zaman ini menetapkan pandangan seragam Islam, seperti yang cuba dilakukan pihak berkuasa agama.

Ini kerana konsep “pihak berkuasa agama” kini juga berpecah-belah, di mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan ulama boleh mencabar pandangan tentang Islam.

“Adakah mereka (pihak berkuasa agama) mempunyai monopoli ke atas Islam? Jika anda merujuk kitab, jelas menyatakan orang Islam diberi keupayaan mentafsir Quran.

“Adalah jelas bahawa hak ini tidak boleh dirampas dari umat Islam.”

Forum bertajuk “Menilai Semula Politik Islam”, dianjurkan Islamic Renaissance Front (IRF).

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib di samping pengarah eksekutif IRF, Dr Ahmad Farouk Musa.

Seorang lagi ulama di forum itu, Profesor Yahya M Michot, berkata sultan dan raja-raja Islam dahulu tidak dibenarkan mengganggu atau menentukan cara umat Islam berfikir dan beribadat.

“Mereka yang berkuasa tidak bertanggungjawab ke atas agama. Tidak seperti hari ini, pihak berkuasa (agama) bukan milik pemerintah,” kata Yahya, seorang profesor pemikiran Islam dan hubungan Kristian-Islam di Hartford Seminary.

Penyatuan kuasa antara agama dengan kuasa politik, kata Yahya, bermula di negara-negara Islam di era moden selepas mereka dijajah oleh kuasa Eropah.

“Ia adalah import zaman moden ke dalam masyarakat Islam oleh Kristian Barat menerusi idea negara-bangsa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.