Polis Johor Rampas Buku “Mari Kita Memuji Allah Kita” Yang Dicetak Paderi Kristian

Johor Bahru – Polis mengesahkan sebanyak 31 buku yang mengandungi perkataan “Allah” dirampas, di sebuah kedai buku di Tangkak, Ledang pada 5 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, SAC Datuk Hasnan Hassan berkata, rampasan itu dibuat, susulan satu laporan mengenai penemuan buku bertajuk “Mari Kita Memuji Allah Kita” pada hari sama.

“Seorang paderi Katolik dan seorang pengikutnya juga telah dibawa ke IPD Ledang untuk dirakam percakapannya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Hasnan ketika dihubungi New Straits Times berkata, tiada suspek ditahan dan polis bertindak secara profesional dalam menjalankan tugas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan awal kes itu telah siap, mengikut Seksyen 289A Kanun Keseksaan.

Jelasnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Menurut laporan portal berita, Father Cyril Mannayagam, 44, telah menghantar buku itu untuk dibuat salinan di sebuah kedai buku, pada jam 1 petang 5 Disember lalu.

Beliau ditahan polis dan buku-buku itu dirampas, apabila kembali ke kedai itu untuk mengambil buku-buku itu, empat jam kemudian.

Dua anggota polis yang menahannya memaklumkan, perkataan ‘Allah’ hanya untuk orang Islam, justeru orang bukan Islam dilarang menggunakannya.

Cyril yang bekerja bersama penduduk Orang Asli sejak empat tahun lalu menjelaskan, buku itu untuk digunakan kira-kira 100 Orang Asli yang beragama Katolik di Bekok, Tangkak.

Paderi Gereja St. Andrew di Muar itu yang dibebaskan pada hari sama, selepas percakapannya dirakamkan, kecewa dengan rampasan itu.

Perkataan “Allah” dilarang digunakan oleh bukan Islam di Johor di bawah Seksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.