Mereka Hanya Layak Digelar Pejuang ‘Tomyam’

Kuala Lumpur – Bulan terakhir 2014 mencoretkan banyak kisah buat rakyat Malaysia, tidak lupa yang menjadi ‘ikon’ pejuang kepada mereka yang ‘berkenan’ dengan perjuangan tiga lelaki ini.

Tiga orang yang dimaksudkan itu adalah Alvin Tan, Ali Abd Jalil dan Fahmi Zainol yang menurut Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah, ketiga-tiganya mempunyai kelebihan yang tidak dapat dinikmati kebanyakan anak muda lain.

Dalam ruangan rencananya yang diberi nama ‘Warung Rakyat’, Zulkefli berpendapat, ketiga-tiga lelaki itu adalah ekstremis yang gemar meraih populariti sehingga melanggar batas-batas kepatutan dan undang-undang negara.

Walau bagaimanapun, mereka hanya layak digelar pejuang tomyam, kerana hanya berani melakukan provokasi, tetapi tidak sanggup mengambil risiko sebagai seorang pejuang.

Tan merupakan seorang penulis blog seks terkenal yang kini menjadi pelarian di Amerika Syarikat, setelah dokumen perjalanannya dibatalkan kerajaan Malaysia.

Menerima nasib sama ialah aktivis, Ali Abd Jalil yang sedang mencari suaka politik di Sweden, negara yang mendukung sistem beraja.

Dia mengambil keputusan untuk lari dari Malaysia, selepas didapati bersalah menghina sistem beraja negara.

Fahmi Zainol pula adalah penuntut Universiti Malaya (UM) yang telah digantung pengajian selama dua semester, kerana didapati bersalah menganjurkan pidato Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim, Oktober lalu.

“Ali yang disiasat atas dakwaan menghina institusi raja, kini berada di Sweden. Pelik, dia mempertikaikan institusi raja, tetapi mencari perlindungan di Sweden, sebuah negara yang mengamalkan kerajaan beraja. Tidak tahu pejuang jenis apa orang ini.

“Fahmi ternampak berani, apabila Anwar mengangkat tangannya sebagai pejuang pada malam pintu pagar UM dirempuh, 27 Oktober lalu. Malangnya, dia mudah kecut untuk menghadapi hukuman digantung pengajian dua semester,” kata Zulkefli di Mingguan Utusan, hari ini.

Manakala bagi Tan pula, Zulkefli berpandangan, lelaki itu tidak mempunyai hati perut, apabila mengambil keputusan yang mementingkan diri sendiri, dengan meninggalkan pasangan intimnya, Vivian Lee menghadapi tindakan mahkamah dan kemarahan rakyat Malaysia secara bersendirian.

Mereka ini tergolong di kalangan pelajar ‘cerdik’, apabila Tan yang dibuang dari Universiti Singapura, ialah pemegang biasiswa Asean, manakala Fahmi adalah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Namun, kebijaksanaan mereka ini seakan-akan disalah guna, apabila memilih untuk berjuang dengan cara menentang, bukannya dengan cara lebih waras, bijak mahupun berdiplomasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.