Mayat Sepasang Suami Isteri Ditemui Reput Dalam Kereta

Kuching – Tanda tanya tentang sebuah kereta Proton Saga berwarna putih yang diletakkan di tepi jalan menuju ke Kampung Sungai Tiram, Pasir Pandak di sini, sejak kelmarin, terjawab dengan penemuan mayat sepasang suami isteri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan tersebut kira-kira pukul 7.40 pagi.

Katanya, berikutan itu, sepasukan anggota polis telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan menemukan kereta tersebut bersama mayat kedua-dua mangsa yang telah 20 peratus reput.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat keracunan gas karbon monoksida. Hasil pemeriksaan mengenal pasti mangsa sebagai Aziz Mohamad Basiron, 30, dan berasal dari Kampung Semilang, Kuching dan isterinya,Sharipah Aini Wan Mohamad, 27, pula berasal dari Kampung Hilir, Beladin.

“Kedua-duanya dipercayai telah mati sejak dua hari lalu. Ketika ditemukan, kereta tersebut dalam keadaan berkunci,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.

Roslan seterusnya berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat itu tiada menemukan sebarang kesan luka atau kecederaan mahupun kehilangan barangan berharga dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.