Mana KJ Waktu Masjid Diletakkan Kepala Babi – Pemuda Perkasa

Kuala Lumpur – Sayap Pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di akhir Persidangan Tahunan mereka hari ini mensasarkan beberapa pemimpin Umno apabila melabelkan mereka sebagai “bangsat”.

Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris ketika berucap dalam sesi penggulungannya mensasarkan, Ketua Pengarah Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin serta mempersoalkan sumbangan mereka terhadap komuniti Melayu di negara ini.

“Saya beri peringatan kepada Saifuddin, dahulu semasa jadi menteri apa yang dia buat, apa tanggungjawab dia? Apabila kita mempertahankan beberapa perkara kita dicemuh,” katanya, merujuk kepada jawatan timbalan menteri pengajian tinggi yang pernah disandang Saifuddin.

“Nur Jazlan, dia bangsat. Dia binatang. Semasa di UDA, apa yang dia buat untuk bantu ekonomi Melayu?” kata Fahmi, merujuk kepada organisasi yang diketuai Jazlan sebelum ini.

Ketika mengulas berkenaan Khairy, Fahmi berkata pemimpin Umno itu seringkali tidak mengendah dan mempertahankan Melayu, namun apabila gereja diserang, beliau menjadi orang pertama tiba di lokasi itu.

“Waktu masjid diletakkan kepala babi, mana dia?” soal Fahmi.

Beliau turut mengingatkan pemimpin Umno, Perkasa mempunyai keahlian di seluruh negara dan ahli akan menolak pemimpin seperti mereka.

“Umno juga bermula dengan NGO. Dulu mereka melawan penjajah,” katanya.

“Sudah cukuplah kita dipergunakan, sampai bila kita nak macam ini,” katanya.

Beliau juga memberi peringatan ketika kes mahkamah kalimah Allah, pemimpin Umno sendiri tidak kelihatan bersama-sama mereka bagi memperjuangkan perkataan suci umat Islam itu.

“Mana menteri yang duduk di Putrajaya, sekangkang dengan Istana Kehakiman?

“Mereka tak nak bantu tidak mengapa, tapi jangan menyusahkan.

“Ahli kita ada di merata tempat. Pastikan kita tolak pemimpin macam ini,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.